Menanti libasan sayap Kenyalang

Menanti libasan sayap Kenyalang

Penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang selesai semalam melengkapkan proses pertama dalam garis masa PRN di sana. Selepas ini prosesnya adalah pengundian awal pada 14 Disember sebelum hari sebenar pengundian pada 18 Disember.

Sarawak jadi negeri kedua selepas Melaka melaksanakan PRN dalam tempoh pandemik, kira-kira 15 bulan selepas PRN Sabah yang melalui proses sama tahun lalu.

PRN Sabah mungkin mencatat pengalaman tidak menarik apabila selepas ia berakhir, negara menyaksikan lonjakan bilangan kes positif Covid-19 sehingga pada satu ketika, kes harian melepasi angka 20,000.

Syukurlah keadaan sudah agak semakin baik pada ketika ini apabila kes harian sejak akhir-akhir ini tidak lagi seperti pada awal hingga pertengahan tahun malah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjadi igauan ngeri rakyat telah ditamatkan dengan pembukaan sempadan negeri dan sektor-sektor ekonomi.

Sekira-kira keadaan ini mengizinkan PRN Melaka dan Sarawak berlangsung, sudah tentu dengan pelaksanaan SOP ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

PRN Sarawak walau bagaimanapun dijalankan hanya selepas perintah Darurat yang berkuatkuasa di sana sejak Ogos lalu ditamatkan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Perkenan tersebut membolehkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang sepatutnya berakhir 7 Jun lalu, dibubarkan pada 3 November bagi memberi laluan kepada PRN yang dijadualkan pada 18 Disember nanti.

 

Tiada lagi BN

Selepas melalui tempoh panjang dalam pandemik dan percaturan politik tanah air, penduduk Sarawak berpeluang memilih kembali wakil-wakil mereka di Dewan Undangan Negeri untuk tempoh lima tahun lagi.

Perbezaan utama yang dapat disaksikan dalam PRN kali ini adalah tiadanya logo Barisan Nasional (BN) dalam kempen-kempen dan di kertas undi nanti.

Ia susulan keputusan parti itu tidak bertanding di sana seperti diumumkan Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Keputusan tersebut tidaklah pelik memandangkan gabungan parti itu sudah terbubar di Sarawak susulan kekalahan mereka dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 pada Mei 2018, menyaksikan parti-parti gabungan di negeri itu, keluar semuanya dari BN sebelum membentuk gabungan baru Gabungan Parti Sarawak (GPS) diketuai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Gabungan baru ini dilihat lebih ampuh dan kebal, sukar dikalahkan kerana memiliki nuansa kenegerian yang lebih kuat berbanding semasa berada dalam BN yang terkandung sama di dalamnya nuansa nasionalisme keMalaysiaan yang pada kebanyakan masa dilihat kurang memihak kepada Sarawak dan penduduknya.

Slogan ‘Sarawak for Sarawakian’ yang sebelum ini kuat dilaungkan pembangkang seperti gerakan S4S agak tidak kedengaran kali ini kerana sasarannya yang menerajui kerajaan negeri kini tidak lagi dibebankan dengan ‘baggage’ pengaruh Malaya ke atas Sarawak.

Buat pertama kali BN tidak mengibarkan benderanya di Sarawak, PRN di wilayah itu dilihat lebih kepada perlawanan tertutup antara parti-parti dalam Sarawak sahaja melibatkan pemain utamanya, GPS (yang bertanding di kesemua 82 kerusi DUN) dengan parti-parti lain negeri seperti Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB), Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan calon-calon Bebas.

Manakala parti-parti yang berorientasikan kebangsaan seperti PKR, Amanah malah Pas dilihat tidak mampu mencabar hegemoni GPS dan parti-parti  berorientasikan Sarawak yang lain akibat perbezaan sentimen yang mereka bawa.

 

‘Jambatan’ Laut China Selatan

Dalam konteks ini barangkali hanya DAP yang mampu membawa sedikit cabaran kepada GPS dan lain-lain terutamanya di kawasan bandar seperti Kuching, Sibu, dan Sarikei.

Hakikat ini banyak dibantu fakta parti itu sudah lama bertapak dan menggerakkan para aktivis masyarakat mereka di sana; menyantuni penduduk Sarawak lewat bantuan-bantuan terutamanya dalam menangani isu berkaitan infrastruktur dan akses kepada kemudahan awam.

Kita masih belum dapat meneka sejauh mana kesannya ‘kehilangan’ BN dari radar politik Sarawak, dari sudut hubungan Malaysia Timur dengan Malaysia Barat khususnya Putrajaya, berbumbukan semangat federalisme.

Sekurang-kurangnya BN pada satu ketika mampu menjambatani Malaysia Timur dengan Malaysia Barat merentasi Laut China Selatan di bawah satu payung politik berpengerusikan Perdana Menteri yang punya perhatian terhadap seluruh negara.

Dan kehadiran BN di sana dilihat tidak sahaja membawa suara rakyat Sarawak malah suara rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Tanpa gabungan politik bersifat kebangsaan seperti BN, dikhuatiri ruang lingkup perhatian dan fokus GPS akan dibataskan sekadar sempadan tanah dan laut Sarawak semata-mata.

PRN kali ini akan menentusahkan sejauh mana dominasi GPS ke atas Sarawak dan sekira-kira cuba menjawab soalan: “adakah ketiadaan BN baik untuk Sarawak dan Malaysia?”

Dan soalan ini hanya dapat dijawab para pengundi di negeri Bumi Kenyalang itu melalui ‘libasan’ di kertas-kertas undi 18 Disember nanti.

PRN Sarawak
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :