'Saya tak akan sertai parti lain, fokus perbetul Bersatu' - Wan Ahmad Fayhsal

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengakui bahawa beliau tidak berhasrat untuk menyertai mana-mana parti buat masa ini susulan tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menggantung keahliannya selama sepenggal.

Bekas Ketua Armada Bersatu itu menegaskan bahawa beliau bersama beberapa rakan lain yang turut dikenakan tindakan disiplin akan memfokuskan usaha untuk memperbetulkan parti yang kini sedang berdepan pergolakan dalaman.

“Buat masa ini, kami akan berjuang untuk memperbetulkan Bersatu. Saya fikir, insya-ALLAH, ALLAH akan bantu sebab kami tidak melakukan kesalahan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Media Parlimen, di sini, pada Selasa.

Sebelum ini, Lembaga Disiplin Bersatu telah memecat keahlian Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan serta menggantung keahlian Wan Ahmad Fayhsal selama satu penggal berhubung isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran Presiden parti itu.

Bagaimanapun, kedudukan Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal sebagai Ahli Parlimen tidak terjejas memandangkan pemecatan keahlian daripada parti tidak tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan, khususnya undang-undang berkaitan larangan lompat parti.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan wujud usaha dalam kalangan Ahli Parlimen Bersatu untuk menghantar memorandum bagi mendesak Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan, Wan Ahmad Fayhsal mengakui tidak mengetahui perkara tersebut.

“Saya tidak tahu sebab saya tidak tandatangan (apa-apa dokumen). Saya tidak terlibat dengan apa yang ahli Parlimen lain buat mungkin ada. Saya bersuara, Wan Saiful juga bersuara dan ramai lagi yang bersuara,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau mengaku bahawa sebelum ini, dalam satu mesyuarat Armada, beliau merupakan individu yang menyuarakan pandangan bahawa ‘Abah’ (Muhyiddin) tidak lagi relevan, namun kenyataan itu dibuat secara dalaman.

"Saya nyatakan itu dalam mesyuarat, bukan di luar,” katanya.

Wan Ahmad Fayhsal turut menyatakan keyakinan bahawa lebih ramai ketua bahagian dan Ahli Parlimen Bersatu akan memberi tekanan kepada Muhyiddin supaya berundur daripada jawatan Presiden parti.