Golongan profesional muda semakin berminat sertai MCA - Ka Siong

JOHOR BAHRU – Golongan muda profesional, khususnya dalam bidang perundangan dan korporat, dilihat semakin berminat untuk menyertai Parti MCA.

Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, perkembangan itu merupakan satu petanda positif yang diyakini bakal memberi banyak manfaat kepada parti pada masa akan datang.

Menurutnya, ia juga membuktikan bahawa MCA masih relevan dan kekal menjadi platform kepada golongan berpendidikan untuk menyumbangkan idea serta kepakaran dalam memperjuangkan isu rakyat.

“Ada dalam kalangan profesional muda tersebut merupakan peguam yang mahir dalam isu berkaitan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kebebasan bersuara, media serta pelbagai dasar lain yang memberi impak kepada masyarakat.

“Mereka memahami cabaran yang dihadapi masyarakat. Contohnya, apabila kerajaan memperkenalkan dasar seperti e-invois, mereka dapat menilai dengan jelas kesannya terhadap rakyat,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan MCA Johor di sini pada Ahad.

Tambahnya, pada mesyuarat tersebut, MCA turut menerima keahlian baharu daripada Ricky Wong, cucu kepada pengasas MCA Johor, mendiang Datuk Wong Shee Fun.

“Datuk Wong merupakan tokoh penting yang menubuhkan MCA pada tahun 1949 bersama Tun Sir Tan Cheng Lock dan menjadi Pengerusi pertama MCA Johor.

“Jadi, hari ini saya amat gembira apabila cucunya turut menyertai MCA. Ini menunjukkan bahawa parti ini berjaya menarik minat generasi muda daripada keluarga yang telah membina legasi bersama MCA sejak dahulu,” ujarnya.

Sementara itu, Ka Siong berkata, MCA mengalu-alukan kemasukan golongan muda profesional kerana mereka diyakini mampu memperkukuh hala tuju perjuangan parti.

“Bagi saya, sudah tiba masanya semua orang menyuarakan pandangan. Jika mereka mempunyai cadangan atau kritikan yang bersifat konstruktif terhadap kerajaan, kami akan terima.

“Dari situ, rakyat boleh menilai sama ada pandangan itu demi kebaikan atau sebaliknya,” katanya.