Shahidan tekad kekal terajui PN di Perlis

ARAU – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis yang baharu, Datuk Seri Shahidan Kassim, berikrar untuk memastikan gabungan itu terus menerajui kepimpinan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Beliau berkata, perkara itu merupakan antara fokus utama selepas diberi amanah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Perlis.

Ahli Parlimen Arau itu turut menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu amanah besar, bukan sahaja di dunia, malah di akhirat.

“Terima kasih kepada kepimpinan PN yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk memegang amanah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Perlis.

“Tanggungjawab ini amat besar, bukan sahaja di dunia, tetapi juga di akhirat. Antara amanah utama saya ialah memastikan PN terus menerajui kepimpinan di Perlis menjelang PRU16,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya pada Selasa.

Shahidan turut menyeru semua pihak di Perlis agar bersatu padu dan kembali ke meja rundingan bagi mengelakkan perpecahan yang boleh melemahkan kekuatan parti.

“Marilah bersama-sama membantu dan menyokong saya dalam menggalas tanggungjawab ini.

Marilah kita kembali ke meja rundingan, kerana perbezaan pendapat yang tidak diurus dengan baik hanya akan membawa kepada perpecahan dan kekalahan,” ujarnya.

Beliau juga berharap PN terus menjadi pilihan rakyat Perlis pada pilihan raya akan datang.

“Sehingga kini, perpaduan di Perlis mantap. Terima kasih kepada Menteri Besar Perlis yang telah memimpin PN dengan baik.

“Bersama kita perkukuh perpaduan, pertahan perjuangan dan pastikan PN terus menjadi pilihan rakyat Perlis,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, dan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Pahang yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, digugurkan daripada jawatan Pengerusi PN negeri.

Mohamed Azmin berkata, Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang berlangsung pada malam Isnin memutuskan bahawa tempat Mohd Shukri digantikan oleh Shahidan, manakala Saifuddin digantikan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan PN negeri-negeri itu berkuat kuasa serta-merta pada Selasa.