KANGAR - Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yakin pelantikan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis yang baharu mampu memastikan gabungan itu terus kekal mentadbir Perlis dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu juga berharap dengan pelantikan Shahidan, perpaduan dalam gabungan itu dapat diperkukuhkan serta menambahkan lagi kekuatan PN di Perlis.
"Setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Seri Dr Shahidan Kassim atas pelantikan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis yang baharu.
“Semoga dengan pelantikan ini, Shahidan akan terus memimpin dan memperkukuh perpaduan serta kekuatan PN di Perlis sekali gus memastikan pentadbiran PN terus kekal mentadbir Perlis dan membawa kejayaan dalam PRU16 kelak,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya pada Selasa.
Terdahulu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kenyataan memaklumkan
Mohd Shukri yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Perlis dan Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Pahang yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah digugurkan daripada jawatan Pengerusi PN negeri.
Mohamed Azmin berkata, Majlis Tertinggi PN yang bermesyuarat pada malam Isnin memutuskan tempat Mohd Shukri digantikan dengan Shahidan, sementara Saifuddin akan digantikan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan PN negeri-negeri itu berkuat kuasa pada 28 Oktober 2025.
Pengguguran Mohd Shukri didakwa mempunyai kaitan dengan penolakan akar umbi Pas terhadap beliau di peringkat bahagian apabila gagal merebut jawatan Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Arau dalam pemilihan parti Jun lalu.
Mohd Shukri tewas kepada penyandang, Solahudin Azmi bagi memimpin Pas Arau untuk sesi 2025-2027.
Pada Muktamar Tahunan Pas September lalu, beliau turut digugurkan sebagai Pesuruhjaya Pas negeri dan digantikan dengan veteran Pas, Ustaz Ahmad Ali.
Mohd Shukri turut gagal menempatkan diri dalam barisan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat 2025-2027 yang menyaksikan Shahidan berada pada kedudukan ke-14.