Amanah pertikai keputusan PN kekalkan Dominic Lau terajui Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Perikatan Nasional (PN) dilihat masih tiada arah dan gagal membaca realiti politik negeri ini apabila terus mengekalkan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai sebagai Pengerusi gabungan itu di Pulau Pinang.

Pengarah Komunikasi Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Pulau Pinang, Abrar Sadiq berkata, meskipun keputusan pelantikan semula itu dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti, namun ia seolah-olah mengetepikan suara ahli akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

Ini kerana Gerakan tidak memenangi sebarang kerusi di Pulau Pinang pada pilihan raya sebelum ini.

“Kami, sebagai komponen Kerajaan Perpaduan dan Pakatan Harapan (PH), melihat keputusan ini sebagai tanda bahawa PN semakin lemah dan tidak mempunyai saingan baharu yang mampu mencabar kestabilan kerajaan negeri hari ini.

“Rakyat Pulau Pinang sendiri telah menolak PN dengan jelas dalam dua pilihan raya lalu, dan trend itu menunjukkan penolakan terhadap politik sempit serta retorik kosong yang tidak membawa manfaat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Abrar berkata, pihaknya yakin bahawa rakyat negeri ini akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan yang matang, harmoni dan konsisten dalam membela semua lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang.

Terdahulu, dalam kenyataan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Isnin memaklumkan bahawa jawatan Pengerusi PN Pulau Pinang dikekalkan kepada Dominic Lau.