GPS pilih yang mana BN atau PN

Apa yang menarik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 kali ini adalah buat kali pertama sejak penubuhan Malaysia, tiada parti Perdana Menteri Malaysia bertanding di sana.

Adalah sesuatu yang agak janggal apabila Perdana Menteri (PM) yang biasanya merupakan ketua umum parti yang memerintah negara, tidak turun berkempen dalam satu-satu pilihan raya sama ada pilihan raya kecil, pilihan raya negeri, atau pilihan raya umum.

Kehadiran PM dalam mana-mana kempen pilihan raya biasanya menjadi kelebihan besar malah boleh dianggap satu ‘kemenangan awal’ kepada partinya - hanya sahaja jika parti tersebut bertanding di sana.

Namun kejanggalan itu berlaku kali ini dalam PRN Sarawak apabila parti yang dianggotai PM pada masa ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, iaitu Barisan Nasional (BN) bukan sahaja tidak bertanding malah tidak lagi wujud di negeri Bumi Kenyalang itu.

BN (atau sebelumnya Perikatan), parti paling berjaya dalam sejarah pilihan raya negara ini terbubar di Sarawak selepas parti-parti komponennya keluar semuanya dari gabungan tersebut sebelum membentuk gabungan baru, Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Ia susulan kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018 kepada Pakatan Harapan (PH), kekalahan pertama parti itu dalam PRU sejak ia ditubuhkan dengan nama asalnya, Perikatan, pada tahun 1952.

Kekalahan BN tersebut walau bagaimanapun bukanlah satu-satunya peristiwa signifikan yang mengubah lanskap politik negara selepas itu.

Tidak lagi mengikut acuan sama dan stereotaip sejak Merdeka, tiga tahun selepas itu merupakan tempoh paling ‘sibuk’ dalam sejarah politik negara apabila tampuk pemerintahan negara berubah dua kali - menyaksikan pembentukan tiga kerajaan dengan tiga Perdana Menteri berbeza.

Parti-parti di Sarawak bekas komponen BN tidak menggantikan BN dengan PH apabila gabungan yang dianggotai PKR, DAP, Amanah dan Bersatu itu menguasai Putrajaya pada 2018.

 

Parti-parti kerajaan bertembung

Sebaliknya, berbekal 18 kerusi daripada keseluruhan 31 kerusi parlimen di sana, mereka kekal menjadi pembangkang sebelum Langkah Sheraton mengubah lanskap politik negara sekali lagi, mengembalikan PH ke kerusi pembangkang dari posisi kerajaan melalui siri lompat-melompat parti dan tandatangan SD.

Pada ketika itu, GPS membuat keputusan menyertai kerajaan baru Perikatan Nasional (PN), ber-PM-kan Muhyiddin Yassin, membolehkan mereka menduduki semula kerusi-kerusi menteri, timbalan menteri, dan pengerusi GLC-GLC, seperti yang mereka nikmati sewaktu berada dalam kerajaan BN pra-2018.

Bertukar kerajaan sekali lagi kepada kerajaan sekarang yang tidak bernama selepas PN dan Muhyiddin dijatuhkan lewat langkah 15 ahli parlimen Umno pada Ogos, kedudukan GPS tidak banyak berubah.

PM Ismail Sabri dari BN tidak menamakan kerajaan baru ini sebagai Kerajaan BN, menyedari kerajaannya dibentuk oleh gabungan partinya BN dengan PN yang sebelum itu dijatuhkan ahli-ahli parlimen partinya sendiri.

Kerancuan, kekeliruan, permainan ‘dua kolam’ ini menjadi latar belakang penubuhan kerajaan baru ini yang barangkali satu-satunya tanda pengenalannya adalah istilah “Keluarga Malaysia” seperti digagaskan Ismail Sabri.

Kekeliruan terbesar barangkali muncul bulan lalu lewat PRN Melaka apabila parti-parti dalam kerajaan di peringkat nasional, PN dan BN bertembung sesama sendiri dalam kempen yang menyaksikan BN menang besar dengan beroleh 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

PN menang dua kerusi manakala PH yang turut bertanding menawan lima kerusi.

Pertembungan ini walau bagaimanapun tidak menjejaskan hubungan mereka di peringkat persekutuan dan negeri-negeri lain di mana dua parti ini masih berada dalam barisan kabinet persekutuan, dan majlis mesyuarat kerajaan negeri.

Selepas Melaka, Sarawak jadi negeri kedua melaksanakan PRN dan kekeliruan muncul lagi.

 

Macam ‘anak dara sunti’

Kali ini, kedua-dua parti PN dan BN menunjukkan ‘friendly gesture’ kepada GPS, parti pemerintah di Sarawak yang punya 68 daripada keseluruhan 82 kerusi DUN Sarawak sebelum ia dibubarkan 3 November lalu.

Kedua-duanya mengumumkan tidak bertanding dalam PRN Sarawak bagi memberi laluan kepada GPS mempertahankan kerusi-kerusi mereka di sana.

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata walaupun GPS tidak lagi bersama BN,  semangat setiakawan antara mereka dan semangat ‘adik-beradik BN’ masih ada.

Manakala Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin turut memberi sokongan kepada GPS dalam PRN Sarawak walaupun membayangkan bahawa PN akan bertanding di negeri itu dalam PRU-15 nanti.

Layanan baik kedua-dua parti ini kepada GPS dilihat bakal meletakkan parti pimpinan Abang Johari itu dalam dilema menjelang PRU-15 nanti, sekira-kira parti mana yang akan mereka sokong untuk membentuk kerajaan di peringkat persekutuan.

Pada ketika ini GPS merupakan sekutu PN, namun melihat kepada BN yang tampak semakin kuat dan mendapat sokongan khususnya selepas PRN Melaka, tidak mustahil tangan persahabatan boleh dihulur kepada bekas parti gabungannya itu, lebih-lebih lagi berdasarkan kedudukan BN kini yang memegang posisi nombor satu negara di kerusi Perdana Menteri.

GPS kini dilihat seperti ‘anak dara sunti’ yang jadi rebutan semua orang kerana kedudukan kukuh mereka di Sarawak dari segi membekalkan bilangan kerusi parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Tidak mustahil sokongan mereka amat didambakan PN dan BN, malah PH pada satu ketika pernah ‘mengenyit mata’ kepada parti ini, dalam usaha mereka ‘mengembalikan mandat rakyat’ selepas ditumbangkan lewat Langkah Sheraton tahun lalu.

Kelebihan ini seharusnya digunakan GPS sebagai ‘bargaining power’ kepada sesiapa juga yang bakal membentuk kerajaan pusat nanti, khususnya dalam urusan melibatkan kepentingan Sarawak yang merupakan lima negeri paling ramai penduduk miskin mutlak.

PRN Sarawak
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :