Belia Sarawak perlu tunggu

Hari ini, 15 Disember 2021 sepatutnya merupakan tarikh di mana anak-anak muda berusia seawal 18 tahun sudah mendapat kebenaran untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai warga negara - mengundi dalam pilihan raya.

Ia susulan pewartaaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 1 Disember lalu berkaitan pindaan kepada perundangan subsidiari berkaitan pilihan raya yang melayakkan individu berusia sekurang-kurangnya 18 tahun untuk mengundi.

Bukan itu sahaja, pewartaan tersebut turut melibatkan pendaftaran pemilih secara automatik - melayakkan anak-anak muda pada usia itu untuk mengundi tanpa perlu mendaftar secara manual seperti sebelum ini, tanpa mengira sama ada mereka berhasrat mahu mengundi atau tidak.

Peristiwa bersejarah ini walau bagaimanapun secara jelas tidak berlaku begitu sahaja dalam keadaan vakum.

Ia menuntut usaha yang bukan sedikit dari segenap pihak yang memperjuangkannya sejak mantan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman membawa usul Undi 18 ke Dewan Rakyat pada Julai 2019.

Pertukaran kerajaan lewat Langkah Sheraton pada April 2020 walau bagaimanapun menggendalakan pelaksanaan usul ini walaupun ia diluluskan secara bipartisan ahli-ahli parlimen kerajaan dan pembangkang pada sesi persidangan Dewan Rakyat yang sama.

Lebih dua tahun masa yang diambil sebelum usul ini dapat menemui sinarnya, sebelum itu kita dihidangkan dengan aksi antik mantan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Takiyuddin Hassan dan SPR sendiri yang tidak kelihatan bersungguh-sungguh mahu menyegerakan pelaksanaan usul ini, walau apa pun niat mereka.

Bertukar sekali lagi kerajaan Malaysia lewat langkah ahli-ahli parlimen Umno pada Ogos tahun ini, usul Undi 18 akhirnya diwartakan pada 1 Disember lalu, namun siapa pula yang menyangka di sana masih ada sedikit kendala.

Walaupun secara undang-undang hari ini belia berumur paling muda 18 tahun beroleh kebenaran mengundi, namun secara praktikal ia tidak dapat dilakukan sekurang-kurangnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dijadualkan pada Sabtu ini, 18 Disember 2021.

 

Tiga belia ke mahkamah

Ia susulan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 2 Disember bahawa kebenaran tersebut  tidak dilaksanakan dalam PRN Sarawak ke-12.

Alasan yang beliau kemukakan adalah, walaupun kerajaan telah mewartakan arahan tersebut, PRN Sarawak kali ini hanya melibatkan daftar pemilih yang dikemas kini sehingga 2 November.

Menurut Wan Junaidi, keputusan tersebut adalah berdasarkan proses undang-undang termasuk keputusan yang ditetapkan Mahkamah Tinggi Kuching dan bukan bertujuan menafikan atau mengetepikan hak serta hasrat belia 18 tahun untuk mengundi.

Pengumuman ini sekira-kira mengecewakan para pejuang usul ini yang telah menunggu lebih dua tahun sehingga ia benar-benar direalisasikan.

Dengan hasrat tersebut, tiga belia Sarawak, Avril Clarice Chin Ning, 18; Ivan Alexander Ong,19; dan Addam Johanson Jeremy Shayne,19, pada 7 Disember memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuching supaya diberi hak mengundi dalam mana-mana pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diadakan selepas 15 Disember.

Semakan itu bertujuan membatalkan Notis Pilihan Raya dan Notis Daftar Pemilih atau mana-mana bahagian daripadanya dan mendapatkan arahan atau perintah bersifat (mandamus) yang memaksa responden (Pendaftar Pilihan Raya Sarawak dan SPR) mengambil langkah segera memastikan tiga pemohon dan warganegara lain seumpamanya berhak mengundi di bawah Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

Permohonan tersebut walau bagaimanapun ditolak mahkamah selepas mendengar hujah semua pihak iaitu pemohon, Pendaftar Pilihan Raya Sarawak (PPRS) dan SPR.

Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai berkata, pendaftar perlu menyemak belia yang baru mencecah 18 tahun untuk memastikan sama ada mereka layak didaftarkan atau hilang kelayakan.

Dengan keputusan tersebut, belia berusia seawal 18 tahun di negara ini perlu menunggu lagi pilihan raya berikutnya bagi membolehkan mereka melaksanakan hak dalam negara demokrasi iaitu memilih wakil pemimpin di Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat.

PRN Sarawak
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :