Berakhirnya era parti Semenanjung di Sarawak

Walaupun meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November lalu, Barisan Nasional (BN) nampaknya tidak ‘ghairah’ untuk bertanding PRN Sarawak yang dijadualkan 18 Disember nanti.

Pengumuman Tan Sri Annuar Musa bahawa parti itu tidak bertanding di Sarawak hadir tidak lama selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perkara serupa bagi pihak partinya, Bersatu.

Pengumuman BN tersebut walau bagaimanapun tidaklah pelik kerana gabungan tersebut sebenarnya telah pun terbubar di negeri Bumi Kenyalang selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Parti-parti komponen BN di Sarawak sebaliknya mengambil keputusan keluar dari gabungan tersebut untuk membentuk gabungan baru yang lebih bersifat kenegerian iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS).

GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP)

Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg menyifatkan keputusan meninggalkan BN sebagai 'hikmah' apabila memikirkan kemungkinan negeri itu tidak memiliki suara sekiranya GPS kekal bersama BN.

Beliau berkata, sekiranya masih sebumbung bersama BN, pemimpin Sarawak tidak memiliki pilihan melainkan hanya mampu menurut semua arahan daripada kerajaan pusat di bawah pentadbiran BN memandangkan prinsip asas parti tersebut mengharuskan sebarang keputusan dipersetujui sacara konsensus.

 

Bersuara tanpa halangan

Justeru Abang Johari berkata, keputusan keluar dari BN membolehkan GPS bersuara dalam apa jua isu tanpa sebarang halangan agar dapat memastikan hak masyarakat di Sarawak dapat terus diperjuangkan.

Perkembangan-perkembangan ini seolah-olah menunjukkan parti-parti bernuansa nasional tidak lagi mendapat tempat di Sarawak hatta dalam satu gabungan besar bersifat majmuk.

Atau ia juga menghantar isyarat selama ini ‘parti asal Semenanjung’ sebenarnya tidak memberi perhatian secukupnya kepada parti dan rakyat Sarawak dalam urusan pembangunan negara.

Namun begitu, apa yang menarik adalah; BN dan PN walaupun saling berseteru dalam PRN Melaka baru-baru ini, kedua-duanya mengumumkan secara terbuka sokongan kepada GPS yang dianggap rakan sekutu mereka masing-masing.

Jika dua komponen dalam kerajaan itu berpendirian demikian, parti-parti pembangkang nampaknya punya pendekatan berbeza.

Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP, dan Amanah setakat ini tidak kelihatan akan mengabaikan PRN Sarawak walaupun dua musuh ketatnya di Semenanjung telah menarik brek lebih awal.

Namun, sejauh mana mereka akan diterima pengundi di negeri itu masih jadi tanda tanya kerana tembok GPS di sana kelihatan begitu kukuh untuk diruntuhkan.

PRN Sarawak
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :