KOTA BHARU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Machang mencadangkan tindakan lebih tegas terhadap Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dengan memecat keahlian ahli Parlimen berkenaan kerana masih mengeluarkan kenyataan yang menyerang presiden parti.
Ketua Bahagian Bersatu Machang, Kamaruddin Ab Kadir berkata, pihaknya berpandangan tindakan tegas itu perlu diambil oleh lembaga disiplin bagi memelihara keharmonian dan maruah parti daripada terus tercalar akibat kenyataan terbuka yang boleh mengelirukan ahli serta rakyat.
“Lembaga disiplin wajar mempertimbangkan tindakan pemecatan terhadap Wan Ahmad Fayhsal.
“Beliau dilihat terus mengeluarkan kenyataan menyerang Tan Sri Muhyiddin semasa Podcast Zaid Ibrahim walaupun dalam tempoh tindakan penggantungan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, Bahagian Machang dalam pada itu menyifatkan tuduhan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin bahawa pemilihan parti ‘amat kotor dan jijik’ sebagai satu dakwaan serius dan tidak wajar, apatah lagi datang daripada pemimpin yang pernah menerima peluang dan kepercayaan besar daripada presiden parti.
Kamaruddin berkata, pihaknya turut menyeru semua pemimpin dan ahli parti agar menjaga adab serta disiplin dalam berpolitik selain mengelak daripada membuat kenyataan terbuka yang boleh menjejaskan perpaduan dalaman.
“Kita perlu menunjukkan contoh kepimpinan yang baik dan menghormati keputusan parti.
“Segala isu perlu diselesaikan melalui saluran yang betul,” ujarnya.
Beliau juga menegaskan bahawa Bersatu Bahagian Machang kekal menyokong penuh kepimpinan Muhyiddin serta barisan kepimpinan parti yang sah.
Sebelum ini, Lembaga Disiplin Bersatu memecat keahlian Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan serta menggantung keahlian selama satu penggal Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang
Tindakan tersebut dipercayai berhubung isu akuan bersumpah yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti itu sebelum ini.