Warisan tampil sebagai parti ‘remaja’, dominasi kepimpinan anak muda - Shafie Apdal

KOTA KINABALU - Parti Warisan tampil sebagai sebuah parti 'remaja' dengan barisan kepimpinan didominasi anak muda berkelayakan tinggi yang memainkan peranan penting mencorakkan hala tuju perjuangannya.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, realiti itu dapat dilihat menerusi kedudukan penting yang disandang oleh generasi muda dalam parti, merangkumi pelbagai latar profesional termasuk dalam bidang kejuruteraan dan undang-undang.

"Warisan ini adalah parti remaja, Timbalan saya (Datuk Darrel Leiking), Isnaraissah Munirah (Ketua Wirawati) masih muda, Datuk Aziz Jamman (Ketua Penerangan) Setiausaha Agung saya Datuk Loretto masih muda. Terrence Au Ketua Wira, dan bendahari pun masih muda, Datuk Rosman, semua ini masih muda.

"Apabila melihat parti yang kita ada bukan sahaja orang muda tapi mereka juga sangat berkelayakan, ada doktor, ada jurutera, ada peguam. Jadi saya nampak ini satu perkara yang perlu kita dengar suara-suara orang muda yang ada," katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Warisan di Kolombong di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai jumlah pengundi muda yang akan mempengaruhi corak undian pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Beliau turut menegaskan, penyertaan aktif anak muda dalam Warisan bukan sekadar hiasan politik, sebaliknya faktor utama yang menggerakkan pembaharuan dan perjuangan parti demi masa depan negeri.

"Kita dengar suara orang muda menyatakan ada penambahan dari segi pengundi muda sekitar 40 hingga 50 peratus, jadi dengarlah suara-suara ini.

"Saya dengar, bukan saya tidak dengar sebab yang kita bina dan perjuangkan hari ini adalah untuk masa depan mereka juga," tegasnya.

Katanya, perjuangan politik hari ini bukan berlandaskan kepentingan beliau sebagai pemimpin, sebaliknya demi memastikan generasi akan datang menikmati masa depan yang jauh lebih baik berbanding hari ini.

"Saya tidak mahu saya yang mencorak atau warnakan masa depan. Mereka perlu bersama mencorak warna bagaimana keadaan masa depan yang mereka mahukan, supaya hidup mereka jauh lebih baik daripada apa yang mereka rasa hari ini, Insya-ALLAH," katanya.

Mohd Shafie berkata, Warisan akan terus memperkukuh penyertaan generasi muda dalam arena politik, selaras dengan perjuangan parti mempertahankan hak Sabah dan memastikan pentadbiran negeri tidak bergantung kepada campur tangan luar.

"Mungkin sedikit masa lagi kita akan tahu berapa jumlah calon orang muda yang ada, berapa jumlah yang kita letak.

Ujar beliau lagi, fokus Warisan adalah masa depan rakyat Sabah, khususnya golongan muda yang menjadi penentu kepada kestabilan dan kemajuan negeri.

"Perkara paling penting ialah bagaimana kita dapat menjamin masa depan Sabah dengan lebih baik, dan ini hanya akan berlaku apabila anak-anak muda diberi peluang seluasnya untuk terlibat," tambahnya.