'Contohi kesungguhan Tajuddin jika mahu diterima kembali UMNO' - Ahmad Maslan

SHAH ALAM - Mana-mana individu yang ingin kembali semula ke pangkuan parti perlu mencontohi kesungguhan ditunjukkan bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang berkali-kali mengemukakan permohonan untuk menyertai UMNO sebelum ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kes Tajuddin boleh dijadikan teladan kerana pemimpin berkenaan menunjukkan kesetiaan dan komitmen yang tinggi walaupun ketika masih digantung keahliannya.

Tambahnya, terdapat dua perkara penting yang dilakukan Tajuddin secara konsisten sepanjang menjalani tempoh penggantungan selama enam tahun sehingga akhirnya MKT menarik semula penggantungan keahlian beliau selepas dua tahun.

"Pertama, beliau berkali-kali memohon kepada Presiden dan juga kepada Perdana Menteri. Asas pertimbangan kedua pula berasaskan komitmen beliau yang hadir dan membantu beberapa kempen pilihan raya kecil (PRK) pasca Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), walaupun bukan atas kapasiti apa-apa.

"Walaupun Perdana Menteri daripada parti lain, namun kerana kesungguhan beliau menunjukkan komitmen bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan membantu menyokong program Kerajaan Madani...saya fikir kesungguhan itu wajar dipertimbangkan parti.

"Walaupun beliau masih digantung pada ketika itu, tetapi beliau turut menunjukkan komitmen ketika kita berdepan PRK. Jadi dua perkara itulah membuka hati MKT UMNO untuk menerima Tajuddin kembali dan saya kira pertimbangan itu adil,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Timbalan Menteri Kerja Raya itu berkata demikian di tengah-tengah laporan media tempatan menguar-uarkan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dijangka menyertai semula UMNO sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadual berlangsung pada hujung bulan depan.

Hasrat pemimpin itu, yang kini bertugas sebagai penyampai radio di Hot FM, untuk kembali kepada UMNO dilaporkan sudah mendapat ‘restu’ pimpinan tertinggi parti itu khususnya Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid difahamkan telah meminta Khairy menghantar dokumen permohonan rasmi untuk menyertai semula UMNO selepas dipecat pada Januari 2023.

Berkenaan Tajuddin pula, MKT UMNO memutuskan untuk menarik semula penggantungan keahlian beliau berkuat kuasa serta-merta pada 24 November tahun lalu.

Tajuddin sebelum ini digantung keahlian selama enam tahun bermula September 2022 kerana kesalahan mengkritik parti.

Susulan itu, beliau dilapor mengemukakan rayuan sebanyak empat kali, namun masih belum mendapat sebarang maklum balas daripada parti sehinggalah penghujung tahun lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad menambah, satu lagi bentuk kesungguhan Tajuddin yang wajar dicontohi bekas-bekas pemimpin UMNO yang mahu kembali ke parti itu adalah berdasarkan inisiatif turun padang tanpa henti demi membantu kempen parti di beberapa PRK termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Kuning, Makota, Nenggiri dan Pelangai.

Katanya, tindakan itu menunjukkan kesungguhan sebenar untuk kembali memperjuangkan parti dan bukannya sekadar berharap pintu terbuka tanpa usaha.

“Jadikan Datuk Seri Tajuddin sebagai contoh kalau mahu kembali. Tunjukkan kesungguhan, mohon berkali-kali dan juga bantu parti walaupun tiada sebarang jemputan rasmi.

"Kalau tak ada permohonan, tak ada komitmen ke arah perjuangan parti, saya tak tahulah. Saya meletakkan Datuk Tajuddin sebagai contoh dan saya rasa itu contoh yang wajar,” katanya lagi.

Pada masa sama, Ahmad menegaskan setiap kes permohonan keahlian semula akan dinilai secara case by case basis oleh MKT dan bukan ditentukan secara individu oleh Presiden parti.

Bekas Setiausaha Agung UMNO itu secara sinis turut menyebut bahawa setakat ini beliau belum melihat sebarang usaha nyata daripada Khairy untuk kembali membantu parti secara proaktif.

"Susah nak cakap lah. Dia (KJ) tak ada effort apa pun, saya nak kata apa?” ujarnya.

Ahmad turut menyifatkan PRN Sabah yang bakal tiba sebagai ruang terbaik untuk mana-mana bekas ahli menunjukkan kesungguhan mereka terhadap perjuangan UMNO.