SHAH ALAM - Universiti Teknologi MARA (UiTM) perlu dikembalikan kepada dasar asal iaitu menyediakan pendidikan percuma kepada semua bumiputera tanpa mengira miskin atau kaya di bawah hak keistimewaan Melayu Fasal 153 Perlembagaan Negara.
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Ibrahim Ali berkata, sudah banyak hak Melayu terhakis dan ternoda atas nama berbilang kaum walhal Malaysia asalnya Persekutuan Tanah Melayu dan tegak dengan asas Perlembagaan Negara Fasal 153.
Menurutnya, perkara itu bukan tuntutan populis, tetapi pelaksanaan hak perlembagaan.
"Jika Fasal 153 menjamin keistimewaan pendidikan, maka pelaksanaan pendidikan percuma di UiTM adalah roh sebenar kepada janji itu. Ini adalah hak bangsa Melayu.
"Negara maju seperti Jerman, Korea Selatan dan Jepun telah membuktikan bahawa pendidikan tinggi percuma bukan beban, tetapi pelaburan sosial strategik.
"Malaysia mampu melaksanakannya jika keberanian politik digerakkan dengan visi bangsa, bukan kalkulator pilihan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah Ibrahim, UiTM telah melahirkan lebih 900,000 graduan bumiputera sebagai jurutera, doktor, akauntan, arkitek, pegawai, usahawan dan pemimpin yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.
Ujarnya, setiap sen yang dibelanjakan kepada UiTM ialah pelaburan jangka panjang terhadap kestabilan nasional dan kesejahteraan sosial.
Tambah beliau, UiTM bukan beban fiskal tetapi kilang peradaban, tempat bangsa Melayu ditempa menjadi pemangkin kemajuan negara.
"Pendidikan percuma untuk bumiputera bukan diskriminasi, tetapi strategi keadilan nasional bagi memastikan tiada bangsa yang kembali dipinggirkan di tanah airnya sendiri.
"Oleh itu, isu pendidikan UiTM tidak boleh dilihat sempit hanya untuk kelompok B40 semata-mata. Ia adalah hak Melayu dan bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Sekadar membiayai B40 bukan menunaikan amanah Fasal 153 yang wajib ialah menegakkan hak pendidikan bangsa secara menyeluruh," ujarnya.
Beliau memberitahu, kerajaan belum melunaskan janji pendidikan percuma malah dalam konteks UiTM, hal tersebut bukan lagi janji politik.
"Ia tanggungjawab perlembagaan. Kerajaan boleh berkompromi dalam hal ekonomi, tetapi tidak boleh berunding dalam hal amanah bangsa.
"Jika hak kaum lain dalam sektor ekonomi dan budaya dihormati, maka hak pendidikan bumiputera yang termaktub dalam Fasal 153 mesti dijunjung dengan keberanian moral dan integriti nasional," katanya.
Ibrahim berpendapat, UiTM bukan sekadar universiti, ia adalah benteng ilmu dan mercu maruah bangsa.
"Mengembalikan UiTM kepada dasar asal dengan pelaksanaan pendidikan percuma bukan tindakan ekonomi tetapi perisytiharan maruah bangsa," ulasnya.