SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zulkifli Bujang menasihatkan menteri supaya memberikan penjelasan secara berhemah dan terbuka apabila berdepan pertanyaan daripada pihak media.
Menurut beliau, pertanyaan wartawan sebuah organisasi media mengenai tema program adalah jelas dan berasas, iaitu mengenai penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menegaskan, setiap institusi awam serta anggota pentadbiran mempunyai tanggungjawab untuk memartabatkannya.
"Sebagai menteri, beliau sepatutnya memberikan penjelasan secara berhemah, bukannya mengeluarkan ugutan seperti yang berlaku pada Khamis apabila beliau memberi amaran kepada wartawan.
"Menteri tidak sewajarnya menggunakan kedudukannya untuk menakut-nakutkan pengamal media," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Justeru, Zulkifli menggesa menteri terlibat membuat permohonan maaf secara terbuka kepada wartawan terbabit, organisasi media diwakilinya serta seluruh rakyat Malaysia atas tindakan tidak wajar itu.
Menurut beliau, Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) dan pihak-pihak berkaitan diseru menyemak insiden itu serta mempertimbangkan langkah penguatkuasaan dan garis panduan lebih tegas bagi melindungi kebebasan media.
"Kebebasan media ialah asas kepada demokrasi. Tiada pihak, termasuk seorang menteri, harus sewenang-wenangnya mengancamnya," ujarnya lagi.