BN pertaruh rekod, bukan hanya sokongan Pas

PUTRAJAYA – Walaupun arahan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya ahlinya mengundi calon BN di 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) mencuri perhatian, keyakinan BN untuk mempertahankan Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini disandarkan kepada rekod pentadbiran kerajaan negeri sepanjang penggal lalu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, terdapat tiga kekuatan utama yang menjadi sandaran BN iaitu prestasi pentadbiran kerajaan negeri, pencapaian ekonomi serta kestabilan politik yang dinikmati Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menurut beliau, pentadbiran kerajaan negeri berjaya membuktikan keupayaannya menerusi pengurusan bandar dan kampung yang lebih tersusun serta cekap, sekali gus memberikan impak yang dapat dilihat sendiri oleh rakyat.

"Kita tengok sahaja bandar-bandar di Johor seperti Johor Bharu, Kluang yang lebih bersih dan tersusun.

"Semua itu bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil pengalaman serta kerja kuat pentadbiran negeri sepanjang lima tahun lalu," katanya.

Razlan berkata, aspek ekonomi turut menjadi antara faktor utama yang meningkatkan keyakinan BN apabila Johor kini muncul sebagai antara negeri yang mencatat prestasi ekonomi terbaik hasil kemasukan pelaburan dan pembukaan lebih banyak peluang pekerjaan berteknologi tinggi.

"Johor merupakan salah satu negeri yang mempunyai ekonomi tertinggi di dalam Malaysia yang mana dahulunya, sektor ini dipelopori oleh Selangor dan Pulau Pinang," jelas beliau.

Katanya, kejayaan menarik pelabur ke negeri itu bukan sahaja merangsang pertumbuhan ekonomi, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada anak Johor tanpa perlu berhijrah ke negeri lain.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kalah atau menang PRN Johor, saya tetap Perdana Menteri'

DAP tidak pernah pertikai hak Melayu, kerajaan adil pada semua kaum - PM

Albert Tei mahu lawan Anthony Loke di PRN Negeri Sembilan

'Jangan terkejut apa PH akan tawarkan kepada rakyat Johor'

Beliau turut menyifatkan kestabilan politik sebagai aset penting yang membezakan Johor berbanding negeri lain apabila kepimpinan kerajaan negeri mengamalkan pendekatan sederhana, mudah berbincang dan mengutamakan penyelesaian terhadap setiap isu.

Mengulas mengenai kecenderungan pengundi muda yang sering dianggap mudah berubah, Mohd Razlan berpandangan corak pemikiran golongan itu kini semakin matang dan tidak lagi mudah dipengaruhi janji politik yang sukar dilaksanakan.

ARTIKEL BERKAITAN: PH kini antagonis nombor satu PRN Johor?

PH tawar agenda pembangunan mampan, gilap potensi Johor - Amirudin

PKR serah senarai calon bagi PRN Negeri Sembilan - Aminuddin

Nak bertanding di Negeri Sembilan, Anthony ingatkan Albert tukar alamat dahulu

Sebaliknya, beliau berkata, generasi muda kini lebih cenderung menilai fakta serta hasil kerja yang dapat dilihat di hadapan mereka, selain mendapat maklumat yang lebih meluas menerusi media sosial.

"Pengundi muda hari ini melihat kepada fakta. Kalau sesuatu itu baik, mereka akan menyokong. Sebab itu kita perlu membentangkan fakta dan hasil yang telah dicapai kepada mereka," katanya.