83 kerusi Parlimen sandaran BN kembali dominan

BARISAN Nasional (BN) yang dibentuk oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada 1 Jun 1974 ketika menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO pada tahun sama, masih dianggap sebagai sebuah gabungan parti politik terkuat pernah dilahirkan di negara ini.

Sebagai perbandingan, BN boleh diklasifikasikan sebagai antara kuasa politik konservatif masih berpengaruh besar dalam politik tempatan, setaraf parti Golkar di Indonesia, Parti Kongres Kebangsaan India di India dan Parti Demokratik Liberal (LDP) di Jepun.

BN pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagaimanapun hanyalah bayang-bayang daripada kemuncak kegemilangan koalisi berkenaan selama 44 tahun.

Biarpun BN pernah kembali merebut jawatan Perdana Menteri pada tahun 2021, namun prestasi koalisi itu secara keseluruhannya merudum teruk pasca kejatuhan kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak.

**media[2695279]**

Bayangkan daripada 13 parti komponen pernah menyertai BN, koalisi itu kini hanya bergantung kepada UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Prestasi pilihan raya BN turut mencatatkan kemerosotan terburuk. Suatu ketika BN pernah memenangi sejumlah 198 kerusi Parlimen pada PRU10 tahun 2004, kemudian merosot teruk kepada 54 kerusi (PRU14) dan kini hanya tinggal 30 kerusi (PRU15).

Bagaimanapun, Presiden BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena ulang tahun BN ke-50 melahirkan keyakinan koalisi itu mampu kembali bangkit untuk menyamai kemuncak prestasi kegemilangannya sekitar tahun 1990-an hingga 2004.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula percaya BN mampu mencontohi kebangkitan semula parti-parti tua di Indonesia dan India seperti Golkar dan Parti Kongres Kebangsaan India pada PRU16.

Dalam sifir politik, ukuran kebangkitan sesebuah parti politik itu akan disukat berasaskan beberapa faktor seperti jumlah kerusi Parlimen dimenangi, jumlah negeri ditawan dan siapa memegang jawatan Perdana Menteri pada pasca sesebuah pilihan raya umum.

Justeru, dengan BN tidak lagi bergerak secara solo dan menjalinkan kerjasama politik bersama Pakatan Harapan (PH) di bawah Kerajaan Perpaduan pasca PRU15, mampukah BN menjadi ibarat phoenix kembali bangkit daripada abu? Menjawab persoalan ini, BN dengan kekuatan 30 kerusi Parlimen perlu diakui hanya dianggap parti sokongan terhadap Kerajaan Madani dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berbekalkan sejumlah 81 daripada keseluruhan 147 kerusi Parlimen dikuasai Kerajaan Perpaduan, PH ditunjangi Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) layak dinobatkan sebagai parti peneraju kerajaan.

**media[2695277]**

Namun, BN berpotensi untuk mengubah posisinya menjadi parti dominan hanya sekiranya parti itu memenangi sekurang-kurangnya 70 kerusi Parlimen pada PRU16.

“Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, PH-BN dilihat bersetuju dengan kaedah penentuan agihan kerusi berkenaan berasaskan formula parti kedua terima undian tertinggi pada PRU15 diberi laluan bertanding. Ini merujuk kerusi-kerusi Parlimen yang dimenangi PN.

“Justeru, jika formula agihan kerusi ini kembali terpakai dan dipersetujui kedua-dua koalisi pada PRU16, BN berpotensi bertanding lebih daripada 80 kerusi Parlimen,” kata bekas Setiausaha Eksekutif BN Pulau Pinang, Azizi Safar.

Berdasarkan analisis Sinar Premium, sekiranya formula agihan kerusi pilihan raya di PRK DUN Sungai Bakap diguna pakai BN-PH pada PRU16, BN berpotensi mendapat tambahan kerusi Parlimen sekurang-kurangnya 53 kawasan Parlimen.

Ia sekali gus menjadikan jumlah anggaran kerusi bakal ditandingi BN sebanyak 83 kerusi dan memberi peluang cerah kepada koalisi itu kembali menjadi parti dominan dalam kerjasama Kerajaan Perpaduan dengan syarat BN perlu menang sekurang-kurangnya 70 kerusi.

Jangkaan tambahan kerusi Parlimen diagihkan kepada BN diunjurkan tertumpu di kawasan negeri majoriti Melayu seperti Kedah (7), Perlis (3), Kelantan (13), Terengganu (8), Pahang (4) dan Perak (8).

Bagi PH, tambahan 21 kerusi Parlimen yang diunjurkan berdasarkan formula agihan kerusi PRK Sungai Bakap membolehkan koalisi itu bertanding dengan anggaran keseluruhan 102 kerusi Parlimen.

“BN memang ada peluang untuk kembali dominan jika bersama PH, namun mampukah BN memenangi sekurang-kurangnya 70 daripada anggaran 83 kerusi Parlimen kelak? “Sedangkan BN bertanding hampir 120 kerusi pada PRU15 pun mereka sekadar menang 30 kerusi, inikan pula pada saat fenomena ‘gelombang hijau’ masih lagi menebal dalam jiwa pengundi Melayu ketika ini.

“Saya berpandangan laungan BN kembali menjadi parti dominan hanya sekadar retorik sekiranya koalisi itu terus berpaut kepada PH. Ini kerana BN akan mematikan serta-merta peranan MCA dan MIC yang diketahui bertanding di kerusi-kerusi ditandingi PH,” jelas Azizi lagi.

Tambah beliau, jika melihat konfigurasi baharu politik pasca PRU15, beliau tidak nampak UMNO-BN boleh berpatah balik bergerak solo.

Ini kerana beliau merasakan UMNO-BN yang sebenar-benarnya menerima manfaat daripada transisi peralihan undi penyokong PH-BN dengan ia dapat dibuktikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada tahun 2023.

Jelasnya, formula Kerajaan Perpaduan sebenarnya lebih diperlukan BN berbanding PH sendiri walaupun sentimen ‘berkawan dengan DAP’ lebih memberi kesan luka kepada UMNO berbanding sentimen penolakan Ahmad Zahid.

“Sebagai contoh, kerusi DUN Bertam dimenangi Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada PRN Pulau Pinang setelah beliau menerima tambahan undi penyokong bukan Melayu, walaupun undi Melayu terhadap beliau merosot berbanding undi Parlimen Kepala Batas PRU15.

“Realiti politik semasa adalah penyokong PH dilihat lebih terbuka mengalihkan sokongan kepada calon BN berbanding undi penyokong BN yang kekal cenderung berpindah kepada PN,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha UMNO Johor, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, untuk melaksanakan reformasi BN, parti-parti dalam koalisi itu perlu mengukuhkan kesepakatan, tidak mengeluarkan pandangan silo atau kenyataan ugutan terhadap satu sama lain mahupun rakan-rakan Kerajaan Perpaduan.

Selain itu, beliau mencadangkan pindaan perlembagaan BN dibuat bagi membolehkan kelonggaran konsensus parti-parti komponen untuk menjemput parti lain yang kini berstatus ‘Friends of BN’ menyertai BN, diluluskan.

“Saya fikir keputusan MCA yang tidak selari dengan BN sewaktu PRK DUN Kuala Kubu Baharu satu kesilapan yang akhirnya menurunkan nilai parti itu di mata pengundi sendiri.

“Soal MCA tidak boleh terima DAP, DAP tidak pernah ambil kerusi-kerusi majoriti Melayu. MCA sendiri pun banyak bertanding di kerusi campuran dan majoriti Melayu pada PRU15.

“Jadi suka atau tidak, BN kena bekerjasama dengan PH pada PRU16,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!