Tidak akan kembali kepada Bersatu - MP Labuan

SHAH ALAM - Selepas sehari kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri diumumkan kosong, ahli-ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seakan tidak ‘terkesan’ dengan keputusan tersebut.

Malah Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman menegaskan, perkembangan terbaharu itu tidak mengubah pendiriannya untuk terus kekal menyokong pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ditanya sama ada beliau akan kembali bersama Bersatu, Suhaili dengan tegas menolak perkara itu.

“Tidak (kembali menjadi ahli Bersatu). Saya akan hadir seperti biasa (dalam sidang Dewan Rakyat),” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Keahlian Suhaili dalam Bersatu terhenti serta-merta mengikut Fasal 10.2.6 Perlembagaan parti dan notis mengenainya dihantar lebih awal iaitu pada 17 Mei lalu.

Pada Rabu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilapor mengumumkan DUN Nenggiri yang disandang Mohd Azizi Abu Naim kosong selepas menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

Perkara tersebut rentetan keahlian Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang terhenti selepas gagal memberi sebarang jawapan berkaitan surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik enggan mengulas perkara berkenaan, namun mahu menunggu keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

**media[2696555]**

“Saya tidak mahu komen. Tunggu keputusan Speaker nanti,” katanya ringkas.

Minggu lalu, Bersatu menyerahkan notis terhenti secara serta-merta kepada enam wakil rakyat yang didakwa melakukan ketidakpatuhan mengikut Fasal 10.4 perlembagaan parti itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan, penyerahan dibuat selepas ia dimaklumkan kepada MPT Perikatan Nasional (PN) yang bermesyuarat sebelumnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!