PRN Johor: Anwar paling tegas lawan rasuah, wajar disokong - Penganalisis

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim sewajarnya mendapatsokongan penuh rakyat kerana membuktikan komitmen yang konsisten dalam membanteras rasuah serta memperkukuhkan integriti pentadbiran negara, kata Profesor Adjung Universiti SEGI, Dr Sarraf Rajesh.

Beliau berkata, sejak menerajui pentadbiran negara, Perdana Menteri menunjukkan kesungguhan untuk memperkukuhkan aspek integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam tadbir urus kerajaan.

Menurutnya, pendekatan yang diambil bukan sahaja memberi penekanan kepada penguatkuasaan undang-undang, malah turut membudayakan amalan tadbir urus yang beretika, profesional dan bertanggungjawab.

“Langkah-langkah yang diperkenalkan mencerminkan iltizam tinggi untuk memastikan Malaysia dibangunkan berasaskan prinsip keadilan, kejujuran dan pentadbiran yang bersih demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara.

“Rasuah merupakan antara cabaran terbesar yang telah lama membelenggu negara. Ia bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah menjejaskan pembangunan ekonomi, kesejahteraan sosial dan keyakinan rakyat terhadap institusi awam,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Anwar pada Sabtu yang mendakwa terdapat parti politik berpakat untuk menjatuhkannya kerana pentadbiran Kerajaan Madani tegas membanteras rasuah dan salah guna kuasa.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, pendirian kerajaan yang tidak berkompromi terhadap amalan mencuri wang rakyat atau menyalahgunakan kuasa bagi kepentingan peribadi menjadi faktor yang menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan pihak tertentu.

Mengulas lanjut, Sarraf berkata, usaha membanteras rasuah bukan sekadar agenda politik, sebaliknya merupakan tanggungjawab nasional yang akan menentukan masa depan Malaysia sebagai sebuah negara maju, berdaya saing dan dihormati di peringkat antarabangsa.

Katanya, usaha itu memerlukan keberanian politik, ketegasan kepimpinan, kesabaran serta kesediaan untuk berdepan pelbagai cabaran dan tentangan.

Pada masa sama, beliau berkata, semua parti yang membentuk Kerajaan Madani perlu memainkan peranan memastikan kestabilan politik terus dipelihara agar kerajaan dapat memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negara.

“Kejayaan membanteras rasuah memerlukan kerjasama semua pihak tanpa mengira latar belakang politik kerana manfaatnya akan dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Dalam suasana politik yang semakin mencabar, setiap pihak sewajarnya mengutamakan kepentingan negara mengatasi kepentingan politik sempit,” katanya.

Beliau berkata, persaingan politik merupakan lumrah dalam sistem demokrasi, namun ia tidak seharusnya menjejaskan usaha kerajaan melaksanakan reformasi yang memberi manfaat kepada rakyat.

Sebaliknya, katanya, kerjasama yang membina antara semua pihak mampu mempercepat pencapaian matlamat nasional, meningkatkan daya saing ekonomi serta memperkukuhkan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa.

“Saya percaya komitmen kerajaan yang dipimpin Anwar dalam memperkukuhkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti merupakan langkah penting demi masa depan negara.

“Dengan kepimpinan berwawasan, sokongan padu rakyat serta kerjasama semua pihak, Malaysia berpotensi muncul sebagai negara yang benar-benar berintegriti, bebas daripada amalan rasuah, dihormati di peringkat antarabangsa dan menjadi contoh kecemerlangan tadbir urus kepada dunia,” katanya.