Naratif 'calon tua' bukan penentu kemenangan pilihan raya

SHAH ALAM - Naratif yang dimainkan pihak tertentu mengenai calon berusia pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak boleh dijadikan ukuran utama dalam menentukan peluang kemenangan sesebuah parti.

Pensyarah Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, perbandingan calon yang diketengahkan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) serta Perikatan Nasional (PN) perlu dilihat secara lebih menyeluruh dan bukan hanya berdasarkan faktor usia semata-mata.

Malah menurutnya, rekod perkhidmatan, kredibiliti, penerimaan akar umbi dan keupayaan membawa aspirasi pengundi memberi peluang dalam menentukan kejayaan parti.

"Dari sudut peluang berdasarkan senarai calon, sentimen semasa dan landskap politik Johor, BN masih mempunyai kelebihan sebagai penyandang dengan jentera yang kukuh.

"PH berpotensi mencabar di kerusi bandar dan separa bandar melalui naratif pembaharuan, manakala PN masih mempunyai peluang di kawasan majoriti Melayu yang menunjukkan sokongan terhadap isu-isu nasional.

"Namun keputusan akhirnya tetap bergantung kepada kempen, isu tempatan, kadar keluar mengundi serta keupayaan setiap parti menterjemahkan kekuatan calon kepada sokongan pengundi," katanya.

Setakat ini, calon PRN Johor yang paling berusia ialah Lim Chin Eng, 73, yang mewakili PN bagi DUN Stulang manakala calon PH di DUN Johor Lama, Danish Hossman Abd Rahman, 24, merupakan calon termuda.

Dalam pada itu, Sivamurugan berkata, BN dilihat mengambil pendekatan menggabungkan calon berpengalaman dengan beberapa muka baharu apabila mempertaruhkan faktor kestabilan, pengalaman mentadbir dan kesinambungan pentadbiran negeri.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kalah atau menang PRN Johor, saya tetap Perdana Menteri'

DAP tidak pernah pertikai hak Melayu, kerajaan adil pada semua kaum - PM

Albert Tei mahu lawan Anthony Loke di PRN Negeri Sembilan

'Jangan terkejut apa PH akan tawarkan kepada rakyat Johor'

PH pula ujarnya, lebih menonjolkan naratif pembaharuan dengan ramai muka baharu, di samping beberapa nama berprofil tinggi seperti Dr Maszlee Malik dan Suhaizan Kaiat bagi mengimbangi pengalaman serta pembaharuan.

"PN pula terus bergantung kepada gabungan pemimpin berpengalaman dan tokoh yang mempunyai pengaruh di kawasan masing-masing, sambil mengekalkan naratif sebagai alternatif kepada kerajaan sedia ada," katanya.

Ke arah politik matang

Sementara itu, Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berpandangan, landskap politik negara memerlukan perubahan ke arah politik lebih matang dengan menjadikan kemampuan calon untuk memperbaiki isu sosial, ekonomi masyarakat setempat khususnya di kawasan DUN sebagai ukuran utama.

Beliau menegaskan, meskipun serangan politik dan pembentukan persepsi merupakan lumrah dalam setiap pilihan raya, namun sudah tiba masanya semua pihak beralih kepada budaya politik lebih membina.

Malah menurutnya, masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan mendesak parti-parti politik menawarkan idea, inovasi dan penyelesaian yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN: PH kini antagonis nombor satu PRN Johor?

PH tawar agenda pembangunan mampan, gilap potensi Johor - Amirudin

PKR serah senarai calon bagi PRN Negeri Sembilan - Aminuddin

Nak bertanding di Negeri Sembilan, Anthony ingatkan Albert tukar alamat dahulu

"Rakyat perlu bertanya apakah pembaharuan yang ingin dibawa dan bagaimana calon mampu membangunkan sosioekonomi kawasan mereka. Itulah perubahan yang diperlukan dalam usaha membentuk transformasi serta reformasi politik negara," katanya.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, pendekatan tersebut bukan sahaja mampu meningkatkan kematangan demokrasi negara, malah berpotensi menarik lebih ramai pengundi khususnya golongan muda untuk terlibat dalam proses politik.

"Persaingan berasaskan idea dan dasar akan mewujudkan landskap politik lebih sihat, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya," ujarnya.