KOTA KINABALU - Barisan Nasional (BN) menggunakan slogan 'Bikin Balik Sabah' pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 sebagai pembakar semangat buat jentera parti dan pengundi untuk memastikan kemenangan demi perubahan serta pembangunan negeri.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, menerusi slogan berkenaan, ekonomi negeri akan dipulihkan semula supaya dapat menjana peluang pekerjaan untuk anak tempatan, menarik pelaburan serta membolehkan belia, wanita dan usahawan desa berdikari.
"Sabah sentiasa untuk rakyat Sabah dan kita mahu slogan kita 'Bikin Balik Sabah' ini mesti kita betul-betul lakukan. Kita mahu PRN pada kali ini, kita lakukan game changer (pencetus perubahan), kita lakukan perubahan-perubahan yang drastik untuk rakyat Sabah.
"Ekonomi Sabah mesti dihidupkan semula supaya rezeki rakyat Sabah bukan hanya diberikan pada kroni-kroni," katanya ketika berucap melancarkan Jentera BN untuk PRN Sabah di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Naib Pengerusi BN merangkap Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Naib Pengerusi BN merangkap Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Bendahari Agung BN, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, menerusi slogan sama, BN akan memastikan perpaduan di Sabah dapat diperbaiki dan tidak boleh lagi terperangkap dalam drama perebutan kuasa yang hanya menjadikan keharmonian terancam.
"Kita perlu kerajaan yang matang, berintegriti dan fokus membina rakyat supaya rakyat tidak digunakan sebagai drama politik ataupun rakyat mahu supaya masa depan dan perpaduan dalam kalangan rakyat Sabah terjamin," katanya.
Presiden UMNO itu berkata, kestabilan politik juga ditekankan di bawah slogan sama kerana ia kunci utama yang dapat memacu Sabah menjadi negeri maju dan makmur.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata, PRN ke-17 bukanlah pesta logo sebagaimana pada pilihan raya negeri sebelum ini yang menyaksikan 14 parti politik bertanding, sebaliknya ia platform untuk rakyat memilih kerajaan negeri yang mampu menyelesaikan masalah dihadapi dengan segera.
Ahmad Zahid berkata, antara masalah yang mesti segera ditangani ialah bekalan air bersih, elektrik dan kemiskinan.
"Orang Sabah sangat rindu kepada Barisan Nasional. Di tangan kita itulah rindu mesti dikembalikan kepada rakyat dan pengundi BN, kita balas kerinduan itu dengan khidmat yang terbaik daripada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri BN (jika menang)," katanya.
Ahmad Zahid turut memaklumkan BN atau UMNO tidak berhasrat membawa calon dari Semenanjung pada PRN ke-17 yang akan diadakan 29 November ini, sebaliknya semua calon adalah dalam kalangan anak tempatan. - Bernama