BUKIT MERTAJAM - DAP akan mengumumkan calon bagi satu lagi kerusi di kawasan pedalaman yang akan ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dalam masa terdekat.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, perbincangan bersama rakan-rakan parti dalam gabungan masih berjalan sebelum pengumuman rasmi dibuat.
"Seperti yang saya katakan semalam, ada satu kerusi lagi di pendalaman yang belum kita umumkan.
"Kita akan umumkan dalam masa terdekat sebab semalam ada sedikit lagi perbincangan dengan rakan-rakan parti lain," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada DAP akan menamakan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong, selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengumumkan akan bertanding di kawasan tersebut
Sementara itu, Anthony berkata, senarai calon DAP pada PRN kali ini menampilkan 50 peratus calon wanita, manakala sebahagian besar lagi terdiri daripada golongan muda.
Katanya, calon paling muda yang ditampilkan oleh parti itu berumur 25 tahun iaitu Chan Loong Wei di kerusi DUN Luyang.
Pada Sabtu, DAP mengumumkan tujuh daripada lapan kerusi yang akan ditandingi DAP dalam pilihan raya tersebut.
Satu lagi calon bagi DUN kawasan pedalaman akan diumumkan kemudian memandangkan perbincangan masih berlangsung
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga mengesahkan penyandang Adun Rubin Balang sebagai calon untuk Kemabong, mempertaruhkan tuntutan ke atas kerusi itu, sejurus selepas sekutu persekutuannya DAP menangguhkan pengumuman pendirian berhubung kerusi berkenaan.