BN umum 41 calon tanding PRN Sabah

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Barisan Nasional (BN) Sabah mengumumkan 41 calon untuk bertanding di 41 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Kesemua calon diumumkan oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam satu majlis pengumuman di Bangunan UMNO di sini pada Ahad.

Menurut Bung Moktar, BN Sabah telah mengesahkan penyertaan dalam PRN17 dengan menggunakan lambang keramat iaitu dacing.

"Selepas melalui proses perundingan, penelitian dan penilaian menyeluruh, BN Sabah akan menampilkan calon-calon bagi menggalas amanah parti pada PRN kali ini.

"Calon-calon ini merupakan gabungan terbaik dan yang berpengalaman berwibawa, berketrampilan dan mempunyai rekod berkhidmat kepada rakyat.

"Mereka dipilih bagi membawa agenda pembaharuan untuk negeri Sabah yang berpaksikan kepentingan rakyat Sabah," katanya.

**media[3335116]**

Katanya, lebih 30 peratus calon yang diumumkan mewakili golongan muda membuktikan kepentingan BN memperkasa penglibatan generasi ini dalam membawa suara anak muda dalam pertahankan kerajaan negeri, khususnya dalam menerajui agenda pekerjaan berkualiti, inovatif, digital berkepupayaan belia dan ekonomi setempat.

"Calon BN yang ditengahkan juga diperkukuhkan dengan tahap pendidikan yang tinggi yang majoriti mempunyai ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah PHD dan dua orang adalah doktor perubatan.

"Ini membuktikan bahawa calon-calon yang ditawarkan bukan sahaja berpengalaman tetapi juga berkualiti dari segi intelektual dan profesionalnya malah mampu menerajui agenda ekonomi, teknologi serta pembangunan sosial negeri dengan lebih kompiten dan berwibawa," katanya.

Senarai calon yang diumumkan ialah bagi kerusi DUN Banggi, Normah Rasik; DUN Bengkoka, Datuk Harun Durabi; DUN Pitas, Datuk Bolkiah Ismail; DUN Tanjung Kapur, Kevin Lee Sip Kin; DUN Pintasan, Tadzul Radim, DUN Tempasuk, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan; DUN Usukan Datuk Seri Mohd Salleh Said Keruak; DUN Sulaman Dr Shahnon Rizal Thajuddin; DUN Pantai Dalit, Alfian Sambas dan DUN Karambunai, Datuk Yakubah Khan.

Bagi DUN Darau diwakili Arfansyah Abdu Gafar, DUN Tanjung Keramat, Jeffery Noor Mohamed, DUN Kawang Datuk Jamal Norubit @ Nerub, DUN Pantai Manis Redzuan Ismail @ Gari, DUN Bongawan, Datuk Mohamad Alamin, DUN Membakut, Rusman Dulamit, DUN Klias Osin Jilon; DUN Kuala Penyu, Datuk Awang Aslee Laka; Lumadan, Datuk Mohd Nazri Abdullah, DUN Kundasang, Japirin Sahadi dan DUN Karanaan, Nadzmin Kamin.

DUN Paginatan pula diwakili Datuk Jemadi @ Junaidi Sahat, DUN Liawan, Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi; DUN Sook, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, DUN Nabawan Lajji Ompongoh; DUN Telupid, Benedict Asmat, DUN Sugut, Mohammad Arifin Pachuk dan DUN, Labuk Yusuf Latif.

DUN Sungai Manila diwakili Zaini Tiksun; DUN Sungai Sibuga, Datuk Suhaimi Nasir, DUN Sekong, Mohd Zharif Aizat Samsuddin; DUN Lamag Datuk Seri Bung Moktar Radin, DUN Sukau, Datuk Jafry Ariffin; DUN Tungku, Saleha Wahid; DUN Silam, Sharif Musa Sharif Mabul; DUN Kunak Datuk Seri Anil Jeet Singh; DUN Bugaya Abdul Manan Indanan, DUN Balung Erwan Palateh, DUN Apas Dr Elmiariezan Ardan; DUN Tanjung Batu, Samsuddin Yusof, DUN Sebatik dan Aslan Fadli Samsul Alang.