Pemilihan pimpinan Amanah: Belum ada keputusan dibuat - Khalid

SHAH ALAM - Belum ada sebarang keputusan dibuat oleh kepimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) berhubung isu pemilihan pimpinan parti.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, berdasarkan perlembagaan parti, pimpinan mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada pemilihan boleh ditangguh atau tidak dan bergantung kepada keadaan semasa.

“Belum ada mesyuarat untuk bincang soal penangguhan. Tidak ada keputusan, tidak ada cadangan untuk pinda perlembagaan supaya boleh lanjutkan penggal atau sebagainya.

**media[3335031]**

“Kita pun tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan,” katanya pada sesi penggulungan Konvensyen Nasional 2025 Parti Amanah Negara (Amanah) di sini pada Ahad.

Ujarnya, sekiranya pilihan raya dilakukan pada tahun hadapan maka pemilihan berkenaan akan pertimbangkan.

"Tapi sekarang, belum ada apa-apa keputusan. Jadi, jangan bergaduh dan jangan percaya khabar angin,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan agar perbahasan mengenai sesuatu usul dibuat berdasarkan fakta bukan andaian atau menilai niat individu lain.

 


 

Serah kepada jawatankuasa kepimpinan parti

SHAH ALAM – Beberapa perwakilan pada Konvensyen Nasional 2025 Parti Amanah Negara (Amanah) berpandangan bahawa perkara berkaitan pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung tahun hadapan wajar diserahkan kepada pertimbangan jawatankuasa kepimpinan parti.

Perwakilan Amanah kawasan Merbok, Mahadzir Ismail berkata, memahami penjelasan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad bahawa tiada sebarang ketetapan rasmi dibuat berhubung pemilihan parti 2026.

“Saya dengar penjelasan saudara Khalid tadi mengenainya cuma timbul sedikit kekeliruan susulan khabar angin kononnya keputusan telah dibuat.

“Saya lebih gemar mendapatkan maklumat yang sahih. Saya juga meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan parti untuk menilai dan memutuskan perkara tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, perwakilan Amanah kawasan Pandan, Nariza Zain berkata, pemilihan parti dijadualkan pada tahun 2026 namun terdapat pandangan berbeza dalam kalangan perwakilan sama ada ia perlu diteruskan mengikut jadual atau ditangguhkan.

“Memang ada perwakilan yang mencadangkan supaya pemilihan diteruskan mengikut jadual namun ada juga yang berpendapat ia wajar ditangguhkan, mengambil kira kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan pada tahun 2027.

“Pada pandangan saya, perkara ini sebaiknya diserahkan kepada jawatankuasa pimpinan pusat seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti. Kepimpinan mempunyai hak menilai apa yang terbaik berdasarkan situasi semasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, perwakilan Amanah kawasan Port Dickson, Rozilawati Mohd Talib pula berpendapat pemilihan adalah hak perwakilan.

"Sekiranya pemilihan dilakukan mengikut jadual yang ditetapkan, kiranya parti telah menjaga hak para perwakilan. Kami sebagai perwakilan telah memilih pimpinan yang terbaik, diharapkan dapat buat keputusan yang sewajarnya," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Khalid menegur segelintir ahli parti agar menjaga akhlak serta mengelak daripada membuat sangkaan buruk berhubung isu penangguhan pemilihan pimpinan parti.

Katanya, sehingga kini, belum ada sebarang keputusan dibuat oleh kepimpinan Amanah berhubung isu pemilihan pimpinan parti.