SHAH ALAM – Keputusan sama ada pemilihan Parti Amanah Negara (Amanah) diteruskan pada tahun hadapan atau ditangguhkan akan dibincangkan di peringkat jawatankuasa nasional parti.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perbincangan tersebut akan mengambil kira dua cadangan berkenaan yang dikemukakan oleh pimpinan parti.
“Kita akan bincang di peringkat mesyuarat nasional, memang ada peruntukan dalam peraturan dan perlembagaan. Bagaimanapun, kita akan bincang sebab ada dua cadangan, kita akan bincang untuk ambil keputusan.
“Peruntukan itu membenarkan penangguhan dan kalau ikut biasa, buat pemilihan antara dua itu.
"Kita akan bincanglah sebab kita tengok juga mod pilihan raya bila,” katanya ketika ditemui media selepas selesai Konvensyen Nasional 2025 Parti Amanah Negara (Amanah) di sini pada Ahad.
Media sebelum ini melaporkan, usul berkaitan pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung tahun hadapan antara yang menjadi tumpuan pada hari kedua konvensyen berkenaan.
Suasana perbahasan turut menjadi sedikit tegang apabila beberapa perwakilan mendesak supaya usul itu dibahaskan segera.
Sementara itu Mohamad ketika berucap pada konvensyen itu menegaskan isu perkauman tidak pernah timbul dalam perjuangan parti itu yang berteraskan nilai Islam dan keadilan untuk semua rakyat Malaysia.
“Alhamdulillah, dalam Amanah tidak timbul isu perkauman. Saya mendengar isu perkauman ini sejak zaman sekolah dulu.
"Tentulah Ustaz Ahmad Awang (Penasihat Umum Amanah) lebih lama. Maki Cina, maki India, semua itu tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah.
“Mereka yang ada kad pengenalan biru, mereka rakyat Malaysia. Nak buat macam mana? Mereka rakyat Malaysia. Sebab itu kita minta jangan maki hamun kaum lain. Kita bersaing dan berlawan secara sihat,” katanya.