SHAH ALAM - Ahli Parlimen Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan menegaskan surat yang ditandatangani dan diserahkan kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan tanda penentangan terhadap kepimpinan atau keputusan parti.
Beliau berkata, sebaliknya surat itu merupakan satu isyarat keprihatinan agar segala proses dalaman parti dapat dijalankan dengan penuh keadilan, keteguhan dan hikmah.
“Saya kekal setia dan percaya kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin serta seluruh struktur pimpinan parti yang sah.
“Bersatu perlu kekal fokus kepada perjuangan rakyat dan tidak terperangkap dalam polemik dalaman yang hanya menguntungkan pihak lawan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, 16 Ahli Parlimen Bersatu termasuk Mohd Nazri menandatangani sepucuk surat yang diserahkan kepada Muhyiddin bagi menyatakan kebimbangan serius mereka terhadap polemik dalaman yang sedang melanda parti itu.
Melalui surat bertarikh 23 Oktober lalu, mereka menyatakan pendirian bahawa pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal merupakan satu langkah yang tidak bijak.
Mereka menyifatkan hukuman berkenaan tidak kena pada masanya dan boleh mengganggu momentum sokongan rakyat terhadap pembentangan Gagasan Belanjawan Perikatan Nasional (PN) oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Tambah Mohd Nazri, ketika menandatangani surat tersebut, beliau tidak mengetahui bahawa Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal sedang melalui proses rayuan rasmi seperti yang diperuntukkan di bawah perlembagaan parti.
Ujarnya, beliau menghormati hak setiap ahli untuk mengemukakan rayuan dan percaya bahawa Lembaga Disiplin serta Majlis Pimpinan Tertinggi akan menilai perkara itu dengan adil dan berhemah.
“Sebagai Ahli Parlimen dan ahli parti, saya kekal berpegang kepada prinsip bahawa setiap tindakan dan keputusan perlu dibuat mengikut saluran yang betul,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Nazri menasihati Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal agar menangguhkan sebarang program atau kenyataan awam sepanjang tempoh rayuan berlangsung bagi menjaga kredibiliti proses dan nama baik parti.