PUTRAJAYA - Barisan Nasional (BN) sudah mengenal pasti calon-calon dari parti itu yang akan diketengahkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata, persiapan bagi menghadapi PRN berkenaan juga telah selesai pada peringkat parti, termasuk perbincangan bersama kepimpinan BN Sabah yang mempunyai autonomi tersendiri.
"Pada peringkat Barisan Nasional, saya boleh sebutkan bahawa persiapan sudah disiapkan dan kita hanya tunggu masa untuk mengumumkan nama-nama calon.
"Insya-ALLAH, kita menjangkakan Yang Amat Berhormat (Pengerusi BN) bersama pimpinan Sabah akan membuat pengumuman pada masa yang sesuai,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan Festival Idea Putrajaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Isnin.
Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, pihaknya dijangka mengumumkan nama calon dan kerusi yang akan ditandingi seminggu sebelum hari penamaan calon.
Beliau turut memaklumkan bahawa BN tidak akan bertanding di semua 73 kerusi DUN, sebaliknya akan meneliti kawasan yang akan diberi fokus.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah, manakala penamaan calon pada 15 November dan pengundian awal pada 25 November.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan, manakala enam lagi ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik. - Bernama