PUTATAN – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah memberi bayangan bahawa sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi tumpuan dalam program Jelajah Harapan Urang Sabah setakat ini adalah kawasan yang bakal ditandingi parti itu pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, ketika ini terdapat antara 10 hingga 12 kerusi tumpuan, namun jumlah akhir masih bergantung kepada hasil rundingan bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN).
“Jelajah Harapan Urang Sabah yang kita mulakan dari DUN Gum-Gum, kemudian ke DUN Karamunting, Segama, Merotai, selepas itu ke DUN Inanam dan petang ini kita berada di DUN Petagas. Seterusnya kita akan ke Sindumin, Kota Kinabalu, Melalap dan beberapa kawasan lain yang masih dalam perbincangan.
“Sekarang masih ada perbincangan terakhir dan kita akan lihat perkembangannya. Boleh jadi antara 10 hingga 12 DUN, tetapi semuanya bergantung kepada rundingan. Maknanya, kita memberi gambaran awal bahawa ini ialah DUN tumpuan kita, dan kita harap rakan strategik akan memberikan kerjasama sebelum kita namakan calon pada 9 November nanti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program berkenaan di Kampung Ketiau di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mustapha berkata rundingan kerjasama antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) berada pada tahap baik dan terkawal.
“Masih ada sedikit perbincangan. Kadang-kadang ada perkara yang sudah diputuskan tetapi difikirkan semula. Itu biasa sehingga penamaan calon nanti, itulah keputusan akhirnya. Sekarang ini masih proses rundingan,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat segelintir ahli yang memilih meninggalkan parti selepas tidak dicalonkan pada PRN kali ini, namun menegaskan jumlah itu tidak signifikan.
“Ada, tetapi tidak ramai sebenarnya. Contohnya di Beaufort, calon berkenaan kalah dalam pemilihan sebelum ini. Lepas itu beliau dilantik sebagai Ketua Cabang Beaufort, tetapi mungkin apabila melihat PKR tidak bertanding di Beaufort, beliau mengambil keputusan untuk berpindah ke parti lain.
“Jadi, kita ucapkan selamat maju jaya,” katanya.