PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah disalahgunakan sebagai alat untuk menyerang kepimpinan Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Menerusi rakaman audio sesi perjumpaan bersama Lembaga Disiplin pada 8 Oktober lalu yang diedarkan, beliau mendedahkan bagaimana perbincangan yang sepatutnya tertumpu kepada aduan terhadap dirinya telah bertukar menjadi medan menuduh dan mempersoalkan kedudukan Hamzah dalam parti.
“Rakaman itu bukti jelas bahawa Lembaga Disiplin bukan lagi bebas. Aduan terhadap saya langsung tidak dibincangkan dengan betul, sebaliknya tumpuan diberikan untuk membina persepsi negatif terhadap Timbalan Presiden,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Wan Saiful turut mendedahkan Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Radzi Manan bukan sahaja gagal menjaga objektiviti prosiding, malah secara terang-terangan menyebut nama Hamzah dan menuduh Ahli Parlimen Larut mahu menjadi Perdana Menteri.
Rakaman tersebut, katanya, turut memaparkan Radzi berkata, “I called Hamzah, kan? He is the Timbalan Presiden and I called him,” selain mendakwa Hamzah sudah mempunyai persefahaman dengan PAS.
“Ini bukti wujud agenda tertentu dalam Lembaga Disiplin. Saya telah beberapa kali menegur agar nama Hamzah tidak dikaitkan kerana sesi itu sepatutnya mengenai saya, tetapi jawapannya tetap sama, ‘memang saya nak kaitkan’,” jelasnya.
Tambah beliau, proses siasatan juga dijalankan secara tidak profesional apabila ahli panel mengakui prosedur badan itu tidak mengikut model perundangan dan boleh mengambil maklumat dari kedai kopi serta telefon.
Lebih mengejutkan, katanya, keputusan pemecatan terhadapnya dikeluarkan dua hari lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan untuk mengemukakan maklum balas.
“Dalam sesi itu, saya diberikan tempoh sehingga 15 Oktober, namun surat pemecatan saya dihantar pada 13 Oktober.
“Ini membuktikan keputusan sudah dibuat lebih awal dan kemungkinan besar atas arahan individu tertentu,” katanya.
Wan Saiful turut mempersoalkan kehadiran dua ahli panel yang menurutnya mempunyai konflik kepentingan, namun permintaannya agar mereka menarik diri tidak diendahkan dengan alasan panel tidak cukup korum.
“Daripada keseluruhan rakaman ini, jelas Lembaga Disiplin telah hilang kredibiliti dan berperanan memenuhi kehendak politik kelompok tertentu dalam parti,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menuntut supaya Lembaga Disiplin Bersatu dibubarkan serta-merta dan semua keputusan yang telah dibuat oleh badan itu dibatalkan.
Pada 14 Oktober lalu, Wan Saiful bersama empat lagi pemimpin Bersatu dikenakan tindakan pemecatan.
Mereka ialah Mohd Azrudin Md Idris dari Bahagian Hang Tuah Jaya; Mohd Faizal Asmar (Pengerang); Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) serta Mohd Isa Mohd Saidi dari Bahagian Ampang.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula digantung keahliannya selama satu penggal.