KOTA KINABALU - Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, tidak menolak kemungkinan berlaku pertindihan kerusi antara gabungan itu dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Bagaimanapun, beliau yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berharap tidak akan berlaku pertindihan kerusi memandangkan PH adalah rakan kerjasama gabungan tersebut.
"Saya selesai sudah... saya ingat tidaklah begitu (berlaku pertindihan), kita masih dalam kerjasama dengan PH. Berlanggar sikit-sikit tu bolehlah.
"Calon sudah dimuktamadkan, tinggal pengumuman saja lagi," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampailkan watikah Felo SMJ 4.0 kepada 42 anak muda yang menyertai program Felo SMJ, di Menara Kinabalu pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau turut menyindir segelintir individu yang melobi untuk menjadi calon dan akhirnya keluar parti apabila gagal terpilih.
Menurutnya, Terpulanglah kepada presiden parti atau pengerusi GRS untuk menentukan siapa calon yang layak.
"Kita tidak (buang), mereka yang buang diri mereka. Yang tidak dapat jadi calon itu mereka fikir mahu jadi calon saja. Jadi tidak dapat, mereka pergilah (keluar parti).
"Jadi bagaimana, mahu jadi pemimpin dan pejuang, mereka kena ada kualiti. Bukan kerana tidak dapat jadi calon, kita merajuk pergi, jadi saya harap parti lain pun fikirlah untuk ambil mereka," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai tarikh pengumuman calon dan pelancaran manifesto, beliau memaklumkan kedua-dua acara penting itu akan diadakan sebelum dan selepas tarikh penamaan calon kelak.
"Manifesto mungkin kita akan lancarkan selepas penamaan calon. Mungkin satu atau dua hari selepas penamaan calon.
"Pengumuman calon nanti kita akan umum dekat-dekat nanti. Saya ingat saya akan buat sekitar 11 atau 12 November ini, tiga atau empat hari sebelum penamaan calon," katanya.