Gerakan jatuhkan Muhyiddin sudah lama, sejak 2021 - Marzuki

SHAH ALAM – Gerakan untuk menjatuhkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, didakwa telah bermula sejak beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2021.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, berdasarkan pemerhatiannya terdapat perubahan sikap yang ketara dalam kalangan beberapa pemimpin kanan parti.

Menurutnya, mereka mula menjauhkan diri daripada Muhyiddin dan tidak lagi mengambil arahan dengan serius, malah mesej yang dihantar ke telefon tidak dijawab selama beberapa hari.

"Seorang pemimpin sayap muda parti, yang boleh dikatakan 'anak emas' Muhyiddin, mula bercakap secara terang-terangan bahawa Muhyiddin tidak lagi relevan.

“Maklumlah, walaupun sebagai ketua parti, beliau tidak memegang sebarang jawatan dalam kabinet. Sedangkan yang lain-lain adalah menteri dengan kuasa dan pengaruh yang besar.

“Susah juga sebenarnya apabila menjadi ketua parti yang tiada jawatan dalam kerajaan. Ketua dipandang sebelah mata,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Tambah Marzuki, secara santai sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau pernah bertanya sama ada Muhyiddin akan bersara kerana melihat kesukaran yang dihadapinya dalam memimpin parti.

Ketika itu, dakwanya, beberapa orang kanan Bersatu tidak lagi menghormati Muhyiddin, parti pula kekurangan dana, manakala Pas belum membuat keputusan sama ada akan bekerjasama dengan Bersatu atau UMNO.

“Saya beritahu beliau, kalau Pas memilih untuk bekerjasama dengan UMNO, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) mungkin berkubur dalam PRU15.

“Beliau menjawab dengan tenang kepada saya. Katanya, kalau memikirkan tentang diri sendiri, sudah lama beliau berhenti. Itu pilihan yang paling mudah untuk beliau dan paling disukai oleh ahli keluarganya.

“Tetapi sebagai ketua parti, beliau ada tanggungjawab. Takkan beliau mahu berundur tatkala bala tenteranya sedang menghadapi perang. Itu akan memberikan kekalahan moral kepada PN sebelum turun berjuang di medan pilihan raya umum,” katanya.

Berikutan itu, Marzuki berkata, mereka bersama-sama menyimpulkan untuk menjadikan PRU15 sebagai percubaan terakhir yang menentukan kemenangan atau kekalahan parti.

“Namun, berundur tidak sekali – biar putih tulang, jangan putih mata. Ditakdirkan Allah SWT, Pas memilih untuk bersama PN dan gelombang 'Abah' menjadi fenomena yang membantu kemenangan PN.

“Hasilnya, PN menang 74 kerusi Parlimen pada cubaan kali pertama bertanding dalam PRU. PN bukan parti nyamuk yang akan hilang sekelip mata seperti tanggapan sesetengah pihak.

“Muhyiddin sebagai Pengerusi PN kemudiannya telah mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Namun, nasib masih tidak menyebelahi beliau. Takdir Ilahi telah menentukan beliau bukan Perdana Menteri ke-10,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah, mendesak Muhyiddin supaya melepaskan jawatan sebagai Presiden Bersatu, dengan mendakwa bekas Perdana Menteri itu telah kehilangan kualiti kepimpinan yang pernah dimilikinya sebelum ini.

Saifuddin dipetik berkata, Muhyiddin tidak lagi menunjukkan ciri-ciri kepimpinan berasaskan adab, ilmu serta kemahiran seperti semasa awal penubuhan Bersatu.