KOTA KINABALU - Pertelagahan antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) yang saling menuntut kredit terhadap pelaksanaan projek pembangunan disifatkan sebagai babak politik murahan menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee berkata, rakyat kini disajikan dengan pertelingkahan tidak berfaedah apabila kedua-dua parti berlumba mendakwa kononnya kejayaan sesuatu projek adalah hasil usaha masing-masing.
"Namun, persoalan sebenar bukan siapa yang buat projek, tetapi siapa sebenarnya mendapat mandat rakyat untuk mentadbir Sabah? Jawapannya mudah, GRS dan Warisan kedua-duanya tidak pernah mendapat mandat rakyat.
"Kerajaan Warisan dahulu terbentuk bukan melalui suara rakyat di peti undi, tetapi hasil 'lompatan' enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), satu pengkhianatan terhadap prinsip demokrasi.
"GRS pula lahir bukan daripada mandat rakyat, tetapi daripada manuver politik selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap Pengerusinya. Ia bukan kekuatan rakyat, tetapi pakatan kepentingan peribadi untuk kekal berkuasa," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Awang berkata, selepas bertahun menunggang kuasa tanpa mandat, kedua-dua pihak itu masih sibuk berdebat siapa lebih berjasa sedangkan yang terus menanggung derita ialah rakyat.
"Jalan raya rosak, bekalan air dan elektrik tidak stabil, kos sara hidup meningkat, tetapi mereka lebih ghairah menuntut nama di papan tanda projek berbanding menunaikan tanggungjawab kepada rakyat.
"Inilah politik ‘kerajaan tanpa mandat’, gah di media, tetapi lumpuh di akar umbi. Mereka berlumba mahu dilihat sebagai penyelamat, sedangkan kedua-duanya gagal menyelamatkan kepercayaan rakyat Sabah," katanya.
Menurutnya, BN tidak perlu meniru gaya politik sedemikian kerana ketika mentadbir dahulu, pembangunan bukan sekadar slogan tetapi hasil nyata daripada mandat tulen rakyat.
"BN tidak lahir daripada lompatan, tidak hidup atas belas ihsan gabungan sementara, dan tidak menjadikan projek sebagai modal propaganda.
"Sabah memerlukan kepimpinan yang berani kembali kepada asas demokrasi sebenar, kerajaan yang lahir daripada mandat rakyat, bukan daripada percaturan politik sempit.
"Akhirnya, GRS dan Warisan boleh terus berebut nama di papan tanda projek, tetapi yang akan kekal dalam hati rakyat ialah siapa yang benar-benar menunaikan amanah dan sejarah telah membuktikan hanya BN pernah melakukannya," katanya.