JOHOR BAHRU – UMNO Johor akan menghantar sekurang-kurangnya 150 petugas bagi membantu kempen di lima Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah bagi menghadapi Raya Negeri ke-17 (PRN17) pada November ini.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, DUN berkenaan ialah Pantai Dalit, Sulaman, Pintasan, Tempasuk dan Usukan, yang masing-masing terletak dalam kawasan Parlimen Tuaran dan Kota Belud.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, setiap DUN akan dijaga oleh satu bahagian UMNO Johor, melibatkan Pontian, Seri Gading, Simpang Renggam Kulai dan Tebrau, dengan minimum 30 petugas setiap bahagian.
“Kita bukan jentera utama, tetapi datang untuk membantu. Ia juga sebagai sebagai latihan kepada UMNO Johor menghadapi PRN negeri nanti.
"Jentera setiap bahagian terdiri daripada Jawatankuasa UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda, Pergerakan Wanita dan Puteri UMNO akan berkampung di Sabah,” katanya.
Ahli Parlimen Pontian itu ditemui selepas program penyampaian kerusi bayi anjuran Puteri UMNO di Kampung Tersusun Parit Seraya, pada Ahad.
Pada 6 Oktober lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberikan laluan kepada PRN Sabah ke-17.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seterusnya menetapkan PRN Sabah ke-17 akan diadakan pada 29 November depan dimana tarikh penamaan calon pada 15 November dan pengundian awal pada 25 November.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi selaku Pengerusi UMNO Johor akan menemui jentera utama pilihan raya ke lima-lima DUN berkenaan pada 8 November depan.
“Kita menyasarkan akan memenangi kelima-lima kerusi UMNO dibawah jagaan Johor walaupun kemungkinan terpaksa berhadapan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang mempertahankan kerusi DUN Sulaman.
"Semua jentera UMNO Johor yang akan dipilih ke Sabah nanti diharap bersedia untuk menjalankan tugas masing-masing bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN)," ujarnya.