'Jangan anggap MA63 dibuat untuk orang Sabah saja' -Pandikar Amin

KOTA KINABALU - Bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menegaskan bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukanlah dokumen yang dibuat khusus untuk rakyat Sabah semata-mata, sebaliknya merupakan perjanjian yang membabitkan semua wilayah yang bersetuju membentuk Malaysia.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) berkata, penting untuk rakyat memahami konteks sebenar penubuhan Malaysia, termasuk kedudukan Sabah dan Sarawak yang menyertai Persekutuan Tanah Melayu yang ketika itu sudah merdeka sejak tahun 1957.

"Waktu kita merdeka, yang membawa kita merdeka ialah Malaya. Mereka sudah merdeka sejak 1957 dan sudah jauh lebih maju daripada kita.

"Ketika Tunku Abdul Rahman menandatangani Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), beliau berbuat demikian bagi pihak sebelas negeri di Tanah Melayu. Jadi, kalau Sabah itu dianggap sama taraf dengan Malaya, mana adil, sebab mereka sudah merdeka sebelas negeri," katanya selepas menyempurnakan majlis pelancaran buku 'Pandikar Amin: Wira dikorbankan Bangsanya' di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai ucapannya yang menyentuh berhubung MA63.

Menurut Pandikar lagi, MA63 sepatutnya difahami sebagai perjanjian yang menyatukan Sabah, Sarawak dan Singapura bersama negeri-negeri yang telah sedia wujud dalam Persekutuan Tanah Melayu ketika itu, dan bukan dokumen khas yang diwujudkan hanya untuk menjaga kepentingan rakyat Sabah.

"Perjanjian itu ditandatangani bagi memastikan Sabah, Sarawak dan Singapura pada waktu itu menjadi sebahagian daripada negara yang sama taraf dengan negeri-negeri di Persekutuan Tanah Melayu.

"Tapi bila pemimpin-pemimpin di sini bercakap, seolah-olah MA63 ini dibuat hanya untuk orang Sabah. Cuba bayangkan, kalau kamu orang Malaya menandatangani perjanjian itu semata-mata untuk orang Sabah, adakah kamu akan tandatangan?" katanya.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa kenyataannya tidak bermaksud menafikan hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk tuntutan 40 peratus hasil negeri yang sering dijadikan isu utama dalam perbincangan mengenai MA63.

"Memang ada hak Sabah. Itu sudah dalam perlembagaan. Salah satunya semua orang tahu, 40 peratus hasil negeri. Tapi dalam MA63 itu sendiri, ia mesti dilaksanakan dengan adil dan berasaskan kekuatan kerajaan persekutuan.

"Kerana bila Malaysia dilihat di mata dunia, ahli dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bukan Sabah dan Sarawak, tapi Malaysia," katanya.

Pandikar berkata, isu MA63 kini sering dijadikan modal politik yang dimainkan saban pilihan raya tanpa penyelesaian sebenar.

“Kita punya pemimpin di sini, dia cakap saja, pokoknya orang undi. Oh, MA63! Tapi berapa tahun sudah? Lepas pilihan raya, sama juga, jalan belum siap, air tiada. Lepas itu mahu cakap lagi MA63, tunggu lagi lima tahun," sindirnya.

Mengulas mengenai tuntutan 40 peratus hasil negeri, Pandikar menegaskan bahawa perkara itu perlu dilihat dengan lebih matang kerana ia bukan sekadar isu tuntutan kewangan, sebaliknya soal tanggungjawab dan keadilan kedua-dua pihak.

"Sekarang semua cakap 40 peratus sudah menang, sudah dapat duit. Tapi kalau satu pihak saja asyik menuntut tanpa mahu berkompromi, bagaimana nak adil? Ini perjanjian, kedua-dua pihak mesti saling faham.

"Kalau tiap hari asyik menghentam kerajaan Persekutuan, akhirnya siapa yang rugi? Ini sebab saya tidak ikut Jeffrey (Datuk Seri Jeffrey Kitingan). Dia kawan baik saya, tapi saya tidak boleh setuju dengan pendekatan itu," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pelancaran buku berkenaan, Pandikar mengakui beliau belum sempat membaca kandungan mengenai dirinya yang dicatat dalam naskhah tersebut, namun berharap penulis menulisnya dengan baik.

"Saya ucap terima kasih kepada penulis buku ini kerana selama ini belum ada orang yang menulis tentang kisah saya. Setakat ini saya belum sempat membaca buku itu, mudah-mudahan apa yang ditulis di dalamnya semuanya yang baik-baik saja," katanya.

Menurut penulis buku berkenaan, Dr Maspi Peran, karyanya itu bertujuan mengetengahkan legasi kepimpinan Tan Sri Pandikar Amin yang dilihat mempunyai nilai perjuangan tersendiri dalam konteks politik dan masyarakat Sabah.

"Buku ini menjelaskan bahawa legasi beliau bukan sekadar tentang bangunan atau jambatan, tetapi tentang perjuangan dan nilai kepimpinan, seperti contoh yang saya sebut tadi, Mandela dan Mahatma Gandhi," katanya.

Dr Maspi berkata, penulisan buku tersebut juga timbul daripada rasa tanggungjawab untuk menghargai sumbangan tokoh negeri itu, bukan kerana hubungan peribadi atau etnik, tetapi atas dasar pengiktirafan terhadap jasa dan peranannya.

"Saya menulis bukan kerana kami datang daripada etnik yang sama, tetapi kerana beliau seorang tokoh yang wajar dihargai. Bukan begitu caranya kita menimbus sumbangan seseorang yang pernah berjasa," katanya.