SEREMBAN - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) telah menyenaraikan tiga kawasan untuk dipertimbangkan oleh Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau berkata, kawasan yang dicadangkan itu melibatkan dua di Sandakan serta satu lagi di Kota Kinabalu.
Menurutnya, keputusan berhubung perkara itu dijangka diketahui pada Isnin selepas mesyuarat tertinggi PN bagi menentukan jumlah kerusi dan calon yang akan bertanding mengikut parti komponen.
“Bagi Gerakan, kita telah menyenaraikan tiga kawasan yang kita ingin bertanding dan keputusan mengenainya dijangka diketahui esok.
“Situasi politik di Sabah memang sering berubah-ubah, oleh itu kita berhasrat untuk bertanding di tiga kerusi tersebut,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Negeri ke-50 Gerakan Negeri Sembilan di sebuah hotel di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa kes buli membabitkan Zara Qairina serta isu-isu lain termasuk pelesenan lombong yang melibatkan wakil rakyat di negeri itu akan menjadi antara faktor kejatuhan kepimpinan kerajaan Sabah terdahulu.
Selain itu, katanya, isu ketiadaan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik juga akan menjadi penyumbang kepada kekalahan kerajaan sedia ada.
“Kita telah mengadakan dialog dengan pelbagai pertubuhan dan persekutuan. Memang ramai yang tidak puas hati dengan kerajaan.
“Kita juga tanya pelajar-pelajar di Universiti Malaysia Sabah (UMS): apa yang mereka mahu jika PN menjadi kerajaan? Jawapan mereka – air. Air tiada, elektrik pun tiada. Fasiliti asas pun tidak mencukupi. Jadi bagaimana rakyat mahu puas hati? Sebab itu kita yakin PN mampu menang dalam PRN Sabah,” katanya.
Bagaimanapun beliau menjangkakan tiada mana-mana parti politik yang mampu memenangi lebih daripada 28 kerusi, sekali gus memerlukan pembentukan gabungan untuk menubuhkan kerajaan negeri.
“Gabungan kerajaan negeri akan diadakan, tetapi kita belum tahu bentuknya. Itu jangkaan kita. Namun kita akan berusaha dan kita akan menggerakkan pemimpin untuk membantu calon Gerakan dan calon PN bagi memastikan kemenangan dalam PRN ini.
“Di Sabah terdapat 73 kerusi. Untuk membentuk kerajaan, sesebuah parti mesti memperoleh sekurang-kurangnya 38 hingga 40 kerusi. Tetapi saya tidak nampak mana-mana parti politik yang mampu mendapat majoriti mudah. Maka, gabungan antara parti adalah perlu,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 15 November, manakala undi awal pada 25 November dan hari mengundi pada 29 November.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, sebelum ini mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 6 Oktober lalu.