PRN Sabah: 'Kita tidak mahu pertukaran kerajaan setiap penggal'-Mazlan

KOTA KINABALU - Sabah tidak boleh terus terperangkap dalam kitaran politik tidak menentu yang menyaksikan pertukaran kerajaan setiap penggal, sebaliknya perlu menumpukan sepenuhnya kepada usaha menstabilkan pentadbiran bagi memastikan pembangunan negeri dapat berjalan lancar dan berterusan.

Pandangan itu disuarakan Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Lumadan, Datuk Mazlan Joehari Manan, yang menegaskan kestabilan politik merupakan asas penting bagi membawa kemajuan sebenar kepada rakyat Sabah.

"Kita tidak mahu lagi politik yang goyah. Kita tidak mahu lagi pertukaran kerajaan setiap penggal. Rakyat sudah bosan, hanya dengan kestabilan politik, barulah pembangunan dapat berjalan lancar.

"Hanya dengan kestabilan, barulah rakyat Sabah boleh merasai nikmat sebenar kemajuan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut Pegawai Khas kepada Ketua Menteri itu lagi, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bukan sekadar medan untuk meraih undi, sebaliknya satu perjuangan penting bagi memperkukuh suara rakyat Sabah melalui penyatuan parti-parti tempatan.

"Inilah masa kita memperkukuh gabungan parti-parti tempatan, supaya suara rakyat Sabah bergema lantang di Dewan Undangan dan Parlimen. Kita tidak lagi dipandang enteng," tegasnya.

Mazlan berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa komited melaksanakan agenda pembangunan progresif berlandaskan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan pembangunan seimbang di bandar, luar bandar, pulau dan pedalaman.

"Sabah mesti bergerak maju dengan pembangunan yang adil dan membawa manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira kawasan," ujarnya.

Beliau turut menegaskan pentingnya pembangunan modal insan, terutama bagi memastikan anak muda Sabah berpeluang meningkatkan ilmu, kemahiran dan taraf hidup tanpa perlu berhijrah ke luar negeri untuk mencari pekerjaan.

"Kita tidak mahu lagi melihat anak-anak Sabah merantau kerana tiada peluang.

"Kerajaan GRS telah memulakan langkah membina peluang di tanah air sendiri. Jangan kita salah langkah sehingga membantutkan usaha ini," katanya.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi rakyat melalui pelbagai inisiatif yang menyokong petani, nelayan, peniaga kecil dan usahawan muda agar mereka terus berkembang.

"Sabah mesti bangkit dengan ekonomi rakyat yang kukuh supaya setiap keluarga menikmati kehidupan lebih selesa. Orang miskin kita bantu, orang berjaya kita angkat menjadi penyuntik semangat kepada yang lain," ujarnya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa pelaksanaan projek infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan elektrik, air bersih dan internet berkelajuan tinggi akan terus dipantau agar dapat dinikmati rakyat secara menyeluruh bermula tahun depan.

"Kita pastikan projek infrastruktur ini tidak lagi hanya janji, tetapi realiti. Bermula tahun 2026, hasilnya akan mula dirasai rakyat," katanya.

Mazlan turut menegaskan bahawa kerajaan negeri kekal berpendirian tegas dalam memperjuangkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) melalui pendekatan diplomasi matang dan berhemah.

"Hak Sabah tidak boleh dipandang ringan. Kita mahu hasil, kita mahu maruah Sabah dikembalikan ke tempat sewajarnya! Ini perjuangan kita semua, bukan seorang," katanya.

Sehubungan itu, Mazlan menyeru rakyat Sabah untuk menolak politik perpecahan dan terus memberi kepercayaan kepada GRS bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri.

"Sabahan mari kita bersatu hati, bertekad dan beriltizam penuh menolak Warisan yang tiada hala tuju. Tinggalkan Barisan Nasional sebagai kenangan sejarah.

"Kini masa kita bersama mengangkat GRS untuk memperkasa agenda rakyat demi Sabah yang lebih maju dan sejahtera," katanya.