PRN Sabah: 'Saya mahu bertanding di Pintasan'-Pandikar Amin

KOTA KINABALU - Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia percaya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak mempunyai pilihan lain selain meletakkannya sebagai calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Berdasarkan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden GRS dan peneraju kepada salah satu parti komponen gabungan itu, beliau yakin pucuk pimpinan akan mengambil kira peranannya dalam menentukan calon di DUN Pintasan.

Bekas Speaker Dewan Rakyat itu merasakan masih mampu berkhidmat dan menyumbang kepada rakyat, malah menolak tanggapan bahawa faktor usia menjadi penghalang, sambil mengingatkan bahawa setiap orang akan menempuh usia tua suatu hari nanti.

"Saya mahu bertanding kerana saya fikir saya boleh lagi. Orang bilang saya tua, jadi, kamu orang muda-muda jangan selalu hentam orang tua. Kerana kamu akan jadi tua juga satu hari nanti. Jadi secara serius ya, saya mahu bertanding di Pintasan," katanya selepas menyempurnakan majlis pelancaran buku 'Pandikar Amin: Wira dikorbankan Bangsanya' di sini, pada Ahad.

Sebelum itu, beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pemberita mengenai pengakuannya dalam ucapan yang berhasrat mahukan kerusi Pintasan untuk ditandinginya dalam PRN kali ini.

Mengulas lanjut mengenai proses perbincangan pembahagian kerusi dalam GRS, beliau mengakui ia masih belum selesai dan belum dimuktamadkan setakat ini,

"Pembahagian kerusi belum lagi selesai sampai sekarang kerana belum pun diumumkan siapa yang bertanding dan parti mana, bertanding di mana. Masih lagi sekarang, masih berunding-runding," dedahnya.

Pandikar turut menegaskan bahawa walaupun terdapat ramai individu melobi untuk menjadi calon di DUN Pintasan, termasuk penyandang kerusi berkenaan, GRS tidak mempunyai pilihan lain selain memberi ruang kepada USNO.

"Sebelum dimuktamadkan siapa calon memang ada ramai yang melobi. Biasalah itu, tetapi apabila nanti dimuktamadkan siapa calon, saya percaya bahawa GRS tidak ada pilihan lain.

"Penyandang sekarang ini mahu juga mempertahankan kerusi iaitu Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat). Jadi, dia mahu pertahankan kerusi itu kerana dia cemerlang, itu saya setuju.

"Tetapi perkiraan pucuk pimpinan GRS di mana saya adalah Timbalan Presiden antara seorang, kita memikirkan bahawa pemimpin-pemimpin komponen GRS itu harus juga diketengahkan untuk bertanding. Kerana kalau pemimpin-pemimpin komponen GRS tidak disuruh bertanding, apalah faedah GRS?” soalnya.

Ditanya mengenai jumlah kerusi yang diminta USNO dalam rundingan pembahagian kerusi, Pandikar enggan mendedahkan secara terperinci perkara tersebut, sebaliknya menyerahkan kepada Pengerusi GRS untuk mengumumkannya kelak.

Bagaimanapun, dalam masa sama beliau mengesahkan bahawa USNO akan tetap bertanding dalam PRN17 walaupun jumlah kerusi yang diberikan belum diumumkan.

Ketika ditanya sama ada beliau akan ‘merajuk’ sekiranya tidak dicalonkan, Pandikar menolak tanggapan itu dengan menjelaskan bahawa beliau telah melalui pelbagai pengalaman dalam dunia politik, termasuk ketika tidak bertanding namun tetap diberikan tanggungjawab penting dalam kerajaan.

"Untuk menjadi ahli politik, seseorang mesti ada 'substance'. Seperti perumpamaan saya tadi, ibarat lada, biar kecil, tapi bila digigit terasa pedasnya. Jadi, jangan sembarangan gigit Pandikar Amin kalau tak mahu kepedasan," katanya berseloroh namun penuh makna.