KOTA KINABALU - Isu tiga serangkai yang menghantui rakyat Sabah sejak sekian lama iaitu bekalan air, elektrik dan jalan raya kini kembali menjadi antara topik utama kempen politik selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan pada 6 Oktober lalu.
Walaupun kebanyakan parti utama belum mengumumkan manifesto masing-masing secara rasmi, hampir setiap sidang akhbar dan ceramah politik memperlihatkan kesungguhan parti-parti bertanding untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu menyelesaikan tiga isu utama itu sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan baharu.
Baru-baru ini, Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berjanji akan menyelesaikan masalah bekalan air di Sabah dalam tempoh setahun sekiranya partinya kembali mentadbir negeri itu.
Beliau berkata demikian bersandarkan kepada pengalaman yang pernah mentadbir Sabah sebelum ini dan mencadangkan supaya kapasiti loji rawatan air perlu ditingkatkan.
Menurut beliau, walaupun Sabah menerima taburan hujan yang tinggi, banyak air mentah tidak dapat dimanfaatkan kerana kekurangan sistem rawatan dan pengurusan yang cekap.
Mohd Shafie turut menegaskan keperluan mewujudkan kerajaan yang bersih dan berkeupayaan tinggi bagi memastikan pelaksanaan dasar dapat dijalankan dengan berkesan.
Bagaimanapun, janji yang dibuat oleh Mohd Shafie untuk menyelesaikan masalah air dalam tempoh setahun itu dibidas oleh Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali yang menyifatkan ia sebagai tidak realistik.
Beliau mempersoalkan perkara itu sepatutnya diselesaikan semasa Mohd Shafie berkuasa pada tahun 2018.
Ujar beliau sambil menyindir, pembinaan loji rawatan air dan tukar paip seluruh Sabah tidak boleh selesai dalam tempoh setahun kecuali dengan bantuan jin atau ada formula ajaib.
Menurut Armizan isu air merupakan warisan lama yang memerlukan perancangan dan pelaksanaan jangka panjang.
Dengan mengambil contoh loji rawatan air Kogopon di Papar, yang mengambil masa lebih 10 tahun untuk dibincangkan namun semasa Warisan berkuasa, projek itu tidak dibuat pun, sebaliknya diselesaikan oleh Kerajaan GRS.
Beliau memaklumkan projek bernilai lebih RM200 juta itu memerlukan tempoh tiga tahun untuk disiapkan dan kini sudah memasuki tahun kedua pelaksanaan selepas majlis pecah tanah diadakan pada Ogos 2023.
Armizan menegaskan, kerajaan GRS tidak berjanji kosong sebaliknya terus bekerja menyelesaikan masalah asas rakyat secara berperingkat.
Dalam pada itu, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin turut menegaskan bahawa parti mereka menawarkan pendekatan praktikal untuk menyelesaikan tiga isu utama yang sering menjadi rungutan rakyat.
Beliau berjanji untuk menyelesaikannya dalam tempoh tiga tahun dan jalan raya pula memerlukan tekanan kepada kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan peruntukan, termasuk masalah bekalan elektrik.
Menurutnya, penyelesaian kepada isu asas ini memerlukan kesepakatan antara kerajaan negeri dan Persekutuan, selain kecekapan pelaksanaan di peringkat jabatan dan agensi berkaitan.
Dalam pada itu, Bung Moktar dijangka melancarkan Rancangan Pembangunan Sabah Satu kepada rakyat negeri itu dalam masa terdekat.