Wan Ahmad Fayhsal istiqamah kekal bersama Pas, PN

MACHANG – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan pendiriannya untuk terus kekal bersama Pas dan Perikatan Nasional (PN) meskipun berdepan dengan tindakan penggantungan keahliannya selama satu penggal oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Isnin lalu.

Menurutnya, walaupun terdapat tawaran agar menyertai DAP daripada Ahli Parlimen Jelutong, pelawaan tersebut ditolak kerana komitmen dan kesetiaannya terhadap perjuangan Pas dan PN tidak akan digadaikan.

“Ahli Parlimen Jelutong tanya saya, kenapa YB (yang berhormat) Machang ditindas, dizalimi dan digantung.

“YB...saya pun tidak tahu kenapa digantung, tanya Pagoh nanti. Dalam surat pun tidak dijelaskan sebab saya digantung.

“Kalau begitu, dia (Ahli Parlimen Jelutong) ajak saya masuk Pakatan Harapan (PH), DAP. Saya kata terima kasih atas jemputan, tapi saya punya komitmen untuk PN dan Pas. Tidak akan sama sekali saya pijak amanah rakyat Machang. Wallahi, saya akan kekal bersama Pas dan Perikatan Nasional,” katanya semasa menyampaikan ceramah sempena Sambutan 70 Tahun Pas Kelantan dan 35 Tahun Membangun Bersama Islam (MBI) Peringkat Pas Kawasan Machang di sini pada malam Rabu.

Beliau turut memaklumkan pernah menolak tawaran lumayan yang pernah diterima dua tahun lalu bagi meninggalkan perjuangan parti.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, sebanyak RM5 juta disogok bagi ‘membeli’ kerusi Parlimen Machang, namun beliau menolak tawaran tersebut atas prinsip perjuangan dan kejujuran terhadap mandat rakyat.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu digantung hak-hak keahlian di bawah Fasal 22.5 bagi tempoh satu penggal pemilihan parti itu berkuat kuasa mulai Isnin lalu.

Menurut Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan, perkara tersebut telah diputuskan pihaknya yang bersidang pada 8 Oktober lalu.