Kes tikam pelajar: Amidi tempelak kenyataan Muhyiddin

SHAH ALAM - Pengarah Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amidi Abdul Manan menempelak kenyataan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan kerajaan hari ini gagal kerana tidak dapat menjadikan sekolah sebagai tempat paling selamat.

Menurutnya, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga diingatkan agar tidak mudah lupa dengan fakta sebenar dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membela pelajar sekolah yang dikaitkan menjadi mangsa buli.

⁠"Beliau lupa bahawa kes Wan Ahmad Faris berlaku pada Disember 2014, yang hanya dibuka untuk siasatan pada masa Perdana Menteri Malaysia bernama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"⁠Satu kejadian di sebuah sekolah di Rinching, Selangor, seorang pelajar T Kavinraj, berusia 13 tahun, meminum ubat secara berlebihan ada kaitan dibuli oleh rakan-rakannya.

"⁠Pada 24 Mei 2014 pula, seorang pelajar perempuan terjun dari tingkat 3 bangunan sekolah di Kuantan ketika awal pagi sebelum sesi harian persekolahan bermula," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menerusi kenyataan mendakwa insiden tragis yang menyaksikan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut apabila ditikam oleh seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Petang Jaya menunjukkan sistem pendidikan dan tadbir urus kerajaan gagal berfungsi.

Insiden berdarah itu juga katanya, mencerminkan kegagalan Kerajaan Madani secara keseluruhannya sebuah kerajaan yang sering melaungkan nilai kasih, hormat dan ihsan, tetapi gagal memastikan keselamatan paling asas untuk kanak-kanak di sekolah.

Mengulas lanjut, Amidi berkata, sikap pelupa yang ditunjukkan Muhyiddin itu jelas menunjukkan beliau tidak layak untuk memimpin parti atau negara.

"Maka sifat pelupa inilah yang membuatkan Tan Sri Muhyiddin tidak sewajarnya terus diberikan peranan menjadi pemimpin sebuah parti atau menjadi calon Perdana Menteri bagi Perikatan Nasional," katanya.