Isyarat pembersihan, risiko perpecahan

BERMULA sebagai ribut dalam cawan, isu pergolakan dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disifatkan semakin membarah.

Pada Selasa, Lembaga Disiplin Bersatu mengumumkan pemecatan mengejut Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan empat lagi ketua bahagian parti berkenaan.

Mereka ialah Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya); Mohd Faizal Asmar (Pengerang); Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) serta Mohd Isa Mohd Saidi dari Bahagian Ampang.

Selain itu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula digantung selama satu penggal.

Keputusan itu dibuat susulan siasatan dalaman dilakukan Lembaga Siasatan parti berkaitan isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti itu sebelum ini.

Berikutan itu, ramai pemerhati politik berpandangan langkah itu membuka lembaran baharu krisis dalaman parti yang semakin ketara.

Tindakan itu bukan sekadar disiplin organisasi, tetapi menandakan pergelutan kuasa dan pengukuhan semula pengaruh dalam kalangan kepimpinan tertinggi parti itu.

Menurut penganalisis politik veteran, Azizi Safar, tindakan tegas ini mencerminkan keberanian Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengembalikan disiplin serta menegaskan prinsip kesetiaan dalam parti.

“Muhyiddin sedar jika krisis ini tidak diselesaikan segera, Bersatu akan terbelah dua di antara kelompok setia dan kumpulan yang cenderung mempertikaikan keputusan kepimpinan.

“Muhyiddin turut berdepan dilema mendepani sentimen dalaman parti. Ada berpandangan jika keputusan ini dibuat, beliau seolah-olah menyebelahi Setiausaha Agung (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali).

"Jika dibiarkan, Muhyiddin akan dituduh tunduk kepada Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Justeru, tindakan disiplin itu satu isyarat jelas bahawa beliau tidak akan bertolak ansur terhadap unsur sabotaj dalaman,” ujar Azizi.

Bekas Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang itu berpandangan, krisis yang sedang berlaku menunjukkan Bersatu sedang melalui proses ‘pembersihan dalaman’ menjelang persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Namun, Azizi mengakui pendekatan keras ini juga boleh menjejaskan moral ahli akar umbi yang mungkin menilai tindakan tersebut sebagai simbol perpecahan terbuka dalam parti.

Bagi beberapa pemimpin Bersatu, pemecatan Wan Saiful serta penggantungan Wan Ahmad Fayshal adalah lebih kepada soal prinsip dan batas etika parti.

Timbalan Ketua Pimpinan Bersatu Selangor, Mohd Rafiq Abdullah menjelaskan, langkah berani itu sekali gus memperlihatkan kesungguhan kepimpinan Bersatu menegakkan prinsip disiplin dan mengekang gejala perpecahan yang kian menular.

“Keputusan ini tiada kaitan dengan SD. Kalau tanya saya, saya sendiri tiada masalah dengan SD.

"Namun Datuk Wan Saiful telah melampaui batas apabila beliau mengeluarkan kenyataan yang bersifat peribadi dan berbaur ugutan. You are never above the party,” katanya.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang itu, semua ahli Bersatu perlu memahami tiada individu yang lebih besar daripada parti dan tindakan disiplin ini wajar menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Rafiq turut menegaskan bahawa proses rayuan masih terbuka bagi mereka yang dikenakan tindakan, namun parti perlu tegas dalam mengekalkan integriti organisasi.

Dari sudut kesan politik, Mohd Rafiq menjangkakan keputusan ini tidak akan sesekali mengubah imbangan kuasa nasional sekali pun Wan Saiful mungkin memilih menyertai mana-mana parti kerajaan pada masa hadapan.

Sementara itu, Exco Armada Bersatu, Na’im Brundage berkeyakinan tindakan Lembaga Disiplin tidak seharusnya menjejaskan persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Persiapan PRN sebenarnya telah lama dilakukan daripada aspek jentera, kempen dan mesej kepada rakyat,” katanya.

Na’im turut menegaskan bahawa peraturan parti mesti dilaksanakan tanpa mengira masa atau kedudukan seseorang dalam hierarki organisasi.

KRONOLOGI KONFLIK DALAMAN BERSATU:

DISEMBER 2022

Selepas gagal membentuk kerajaan pada pilihan raya umum November 2022, PN melantik Hamzah sebagai Ketua Pembangkang. Sementara itu, Pengerusi PN dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai ketua gabungan PN di Parlimen dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai timbalannya.

NOVEMBER 2024

Pada mesyuarat tahunan Bersatu, Muhyiddin mengumumkan rancangan untuk bersara sebagai Presiden Bersatu menjelang 2024. Bagaimanapun, beliau mengubah fikiran dalam masa kurang 24 jam selepas Bersatu mendesaknya untuk kekal.

PENGHUJUNG 2024

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, PN harus melepaskan cita-cita untuk menggantikan Muhyiddin sebagai pengerusi gabungan itu. Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin membantah dengan mengatakan partinya lebih sesuai untuk memimpin PN.

AWAL 2025

Pada Februari, lima pemimpin Pas diketuai Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan lima pemimpin Bersatu termasuk Wan Saiful berjumpa di Kuala Lumpur untuk mesyuarat peringkat tinggi. Menurut sumber, pertemuan itu membuktikan bahawa Pas tidak berniat untuk menerajui negara. Mereka kemudian dilaporkan membincangkan rancangan untuk menyusun semula PN dan memberikan kuasa operasi yang besar kepada Hamzah.

6 & 7 SEPTEMBER 2025

Sepucuk surat layang beredar menuduh Hamzah merancang untuk menjatuhkan Muhyiddin. Pada 8 September, dilaporkan bahawa kira-kira 120 ketua bahagian Bersatu menandatangani akuan berkanun mendesak Muhyiddin menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Hamzah.

6 SEPTEMBER 2025

Muhyiddin secara terbuka berdepan dengan pihak yang menekannya dalam ucapan perasmiannya pada AGM, memberitahu mereka menghormati perlembagaan Bersatu. Kenyataannya mencetuskan kekecohan dengan perwakilan jerit-menjerti antara satu sama lain.

7 SEPTEMBER 2025

Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu mengadakan mesyuarat pagi sebelum hari kedua Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) bermula Sumber memberitahu media bahawa dalam mesyuarat itu, ia bersetuju untuk menghentikan paparan terbuka tentang perbezaan pendapat Kemudian semasa AGM perwakilan Bersatu meluluskan usul agar Muhyiddin kekal sebagai presiden dan meluluskan usul supaya beliau menjadi calon perdana menteri mereka pada pilihan raya umum akan datang.

29 SEPTEMBER 2025

Wan Saiful secara terbuka menyerang Azmin dan mengaitkan bekas Menteri Besar Selangor itu dengan dakwaan video seks.

1 OKTOBER 2025

Krisis dalaman Bersatu nampaknya terus meruncing apabila hari ini terdedah pula tiga rakaman audio yang didakwa melibatkan pemimpin tinggi parti itu. Ia dikatakan merakam perbincangan dalam pertemuan sulit beberapa pimpinan kanan Bersatu melibatkan gerakan tersusun menyerang pemimpin parti itu. Gerakan tersebut dipercayai diketuai Hamzah.

7 OKTOBER 2025

Enam pemimpin Bersatu termasuk Wan Saiful dipanggil Lembaga Disiplin parti Berdasarkan maklumat sumber daripada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal turut dipanggil. Pemimpin yang dipanggil akan disiasat atas beberapa dakwaan termasuk isu pengumpulan SD untuk menjatuhkan Muhyiddin.

14 OKTOBER 2025

Bersatu memecat keahlian Wan Saiful bersama lima ketua bahagian parti itu susulan pelanggaran perlembagaan dan kod etika parti. Wan Ahmad Fayhsal digantung hak keahlian bagi tempoh satu penggal di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu. Berikutan itu, dua ahli Parlimen berkenaan melalui satu sidang akhbar khas memaklumkan akan mempertimbangkan untuk merayu terhadap hukuman pemecatan dan penggantungan keahlian mereka.