Kemelut Bersatu: Beri ruang, kepercayaan Lembaga Disiplin lakukan siasatan - Muhyiddin

SHAH ALAM - Semua ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan supaya terus berdiri teguh, saling menyokong dan menzahirkan kesetiaan kepada perjuangan parti.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, saat ini merupakan ujian penting kepada kekuatan dan kesabaran ahli dalam memastikan Bersatu kekal utuh dalam mendepani pelbagai cabaran dalaman serta serangan politik luar.

Ujar beliau, sebarang tindakan di luar saluran parti hanya akan melemahkan Bersatu dan membuka ruang kepada musuh politik mengambil kesempatan.

“Perkara paling penting ialah kita kekal bertenang, berdisiplin dan yakin bahawa segala isu akan diuruskan melalui saluran parti yang sah.

“Saya menegaskan sekali lagi bahawa Lembaga Disiplin parti telah diberikan mandat penuh untuk menyiasat dan membuat keputusan dengan adil, telus dan berlandaskan Perlembagaan parti.

"Justeru, saya meminta semua ahli memberi ruang dan kepercayaan kepada proses ini berjalan dengan baik tanpa sebarang gangguan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

 Media sebelum ini melaporkan empat ketua bahagian Bersatu termasuk Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Datuk Wan Saiful Wan Jan akan dihadapkan ke Jawatankuasa Lembaga Disiplin berhubung dakwaan pengumpulan akuan bersumpah (SD) bagi mengusulkan peralihan kepimpinan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Selain Wan Saiful, tiga lagi yang dipanggil ialah Ketua Bahagian Ampang, Mohd Isa Saidi; Ketua Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali; dan Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail.

Muhyiddin turut mengingatkan ahli-ahli supaya memberi ruang dan kepercayaan kepada proses tersebut.

“Kita berada dalam perjuangan yang jauh lebih besar iaitu memperkukuhkan Bersatu, memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) dan membela kepentingan rakyat.

“Jangan sesekali biarkan cabaran dalaman mengalih perhatian kita daripada matlamat ini,” ujarnya.