KOTA KINABALU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) didakwa menawarkan sehingga 23 kerusi kepada Pakatan Harapan (PH), menyebabkan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) melihat ia bercanggah dengan sentimen rakyat Sabah dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Presidennya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, sekiranya Mesyuarat Majlis Presiden GRS memutuskan untuk meneruskan pakatan pilihan raya dengan PH dan yang sepasukan dengan Barisan Nasional (BN)-UMNO, maka STAR akan bergerak secara solo.
“Pada asalnya, STAR hanya mencadangkan agar PH mempertahankan tujuh kerusi penyandangnya di bawah logo GRS.
“Namun, Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS dilaporkan menawarkan sehingga 21 hingga 23 kerusi kepada PH, sesuatu yang dilihat bercanggah dengan sentimen rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya lagi, STAR menegaskan jika GRS memilih untuk bergerak solo, parti itu akan bersama.
“Tetapi jika GRS memilih bersekongkol dengan PH dan BN, STAR tidak boleh menyokong kerana ia menentang suara majoriti rakyat.
“Mereka yang menentukan dan mereka yang mengundi. Bagaimana saya boleh menentang rakyat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan STAR, Anuar Ghani menyifatkan kenyataan itu jelas membuktikan bahawa pendirian STAR adalah berasaskan aspirasi akar umbi yang mahu parti tempatan memimpin pentadbiran negeri tanpa campur tangan agenda luar atau agenda dari Semenanjung.
Katanya lagi, pendirian Presiden STAR untuk parti itu bertanding secara solo pada PRN17 mendapat sokongan penuh daripada ahlinya.
“Pendirian STAR untuk bertanding secara solo dalam PRN17 adalah hasil penelitian mendalam terhadap aspirasi rakyat Sabah, berlandaskan 11 prinsip utama iaitu suara rakyat adalah mandat; perjuangan konsisten berteraskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63); ‘Sabah First, Rumah Kita, Kita Jaga’; dan menolak campur tangan politik luar.
“Selain itu, prinsip yang turut menjadi keutamaan ialah bukan demi jawatan tetapi demi rakyat; mengangkat martabat parti tempatan; pentadbiran telus dan berakauntabiliti; hubungan langsung dengan rakyat; keyakinan baharu untuk Sabah; pengorbanan demi ‘Justice For Sabah’; dan kerjasama dalam Persekutuan,” katanya.
Sehubungan itu, Anuar berkata, STAR menegaskan bahawa perjuangan itu adalah untuk memastikan pentadbiran negeri dipimpin sepenuhnya oleh parti-parti tempatan, demi maruah, keadilan, kemerdekaan dan masa depan Sabah yang berdaulat.
“Kami yakin bahawa langkah bertanding solo ini adalah keputusan terbaik demi rakyat, seiring dengan perjuangan menegakkan ‘Justice For Sabah’ dan memastikan ‘Sabah untuk Sabahan’ benar-benar terlaksana,” katanya.