STAR dan SAPP keluar GRS, tanding solo dalam PRN17

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) memutuskan untuk keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan akan bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang berlangsung di Sri Gaya pada Rabu.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, mesyuarat selama dua jam itu turut dihadiri semua presiden parti komponen GRS.

"Agenda utama mesyuarat adalah untuk membincangkan dan mengemas kini persiapan gerak kerja GRS dalam menghadapi PRN17 yang akan diadakan tahun ini termasuklah rundingan agihan kerusi antara GRS dan Pakatan Harapan (PH).

"Dalam mesyuarat tersebut juga, Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden SAPP Datuk Seri Yong Teck Lee telah menyatakan hasrat parti masing-masing untuk bertanding menggunakan lambang parti sendiri dalam PRN17 nanti.

"Mereka memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat kerana tidak mahu terikat dengan kuota agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dimuktamadkan antara GRS dan PH.

"Ini bermakna STAR dan SAPP berkemungkinan akan meletakkan calon di kawasan-kawasan DUN yang juga bakal ditandingi calon-calon dari PH," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, dalam mesyuarat itu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS menegaskan semua parti komponen perlu menghormati persetujuan kerjasama dengan PH sebelum ini.

"Beliau turut menegaskan bahawa atas prinsip kesatuan, GRS harus bergerak sebagai satu entiti, dengan semua calon GRS menggunakan lambang yang sama, iaitu lambang GRS, dalam menghadapi PRN17.

"Setelah perbincangan secara terbuka dan ikhlas selama hampir dua jam, mesyuarat memutuskan bahawa mana-mana parti komponen yang memilih untuk meletakkan calon menggunakan lambang parti masing-masing dianggap telah keluar daripada GRS. Oleh itu, calon-calon daripada parti tersebut tidak lagi mewakili GRS dalam PRN17," katanya.

Beliau berkata, Pengerusi GRS yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bersama presiden parti-parti komponen lain iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) dan Parti Cinta Sabah (PCS) menghormati keputusan STAR dan SAPP untuk bertanding secara solo dalam PRN17.

Tambah Masidi, dengan keputusan itu, keanggotaan STAR dan SAPP dalam GRS secara automatik telah tamat.

"Presiden STAR dan Presiden SAPP turut menyatakan bahawa mereka menghormati pendirian parti-parti komponen lain yang memilih untuk terus kekal bersama GRS dan meneruskan kerjasama strategik dengan PH dalam menghadapi PRN yang akan datang.

"Mesyuarat telah berlangsung dalam suasana penuh muhibah, mesra, ikhlas dan berterus terang. Semua pimpinan yang hadir akur dengan keputusan yang dibuat secara musyawarah dan tetap meraikan perbezaan pandangan dalam semangat demokrasi yang sihat dan matang," katanya.

Masidi turut menegaskan bahawa GRS akan terus memperkasakan gerak kerja dan memantapkan strategi menghadapi PRN17 dengan komitmen penuh terhadap kestabilan dan kesejahteraan negeri Sabah.