IPOH - Bekas Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin yang menyertai Pas pada April dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pas negeri yang baharu.
Pelantikan Wan Norashikin, 52, diumumkan selepas Mesyuarat Perhubungan Pas Negeri Perak kali pertama bagi sesi 2025-2027, dipengerusikan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Idris Ahmad pada Khamis.
**media[3295177]**Dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan itu dibuat berdasarkan Fasal 53 (3) dan (5) Perlembagaan Pas (Pindaan 2025) dan dipersetujui dalam mesyuarat tersebut.
Selain Wan Norashikin, senarai AJK lantikan turut menampilkan tokoh-tokoh politik dan profesional lain termasuk Dr Azhar Bahari, Datuk Kamilia Ibrahim, Farhan Halim, Dr Muslih Endut, Datuk Abdul Hakim Hamidi dan Dr Abd Haris Abdul Latif.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampong Gajah itu menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sempena Ceramah Mega Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning pada April lalu.
Penyertaan beliau ke dalam Pas mencuri tumpuan terutama selepas mendirikan rumah tangga dengan Setiausaha Pas Kawasan Tapah, Muhammad Noor Farid Zainal.
Sementara itu, turut diumumkan pelantikan beberapa jawatan utama dalam Pas Perak termasuk timbalan pesuruhjaya, ketua penerangan serta pengarah pilihan raya.
Bagi jawatan Timbalan Pesuruhjaya, Pas Perak melantik Mohd Akmal Kamarudin sebagai Timbalan Pesuruhjaya I, Misbahul Munir Masduki sebagai Timbalan Pesuruhjaya II dan Suhaimi Abdul Wafir sebagai Timbalan Pesuruhjaya III.
Manakala Fakhrudin Abdul Aziz dilantik sebagai Setiausaha, diikuti Rosli Abdul Rahman sebagai Bendahari dan Khalil Yahaya sebagai Ketua Penerangan.
Jawatan Pengarah Pilihan Raya pula disandang Berhanudin Ahmad yang bertanggungjawab mengetuai persiapan dan strategi Pas Perak menghadapi pilihan raya akan datang.
Tiga jawatan lain terus disandang pemimpin sedia ada iaitu Ketua Dewan Ulama, Ibrahim Zakaria; Ketua Dewan Pemuda, Hafez Sabri dan Ketua Dewan Muslimat, Dr Najihatussalehah Ahmad.