Kepentingan GRS untuk masa depan Sabah - LDP

KOTA KINABALU – Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Sim Fui menyatakan kekecewaan mendalam terhadap keputusan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) yang keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau berkata, tindakan itu amat dikesali memandangkan kedua-dua parti tersebut merupakan pengasas bersama gabungan berkenaan, yang ditubuhkan dengan tujuan menyatukan parti-parti berasaskan Sabah di bawah satu payung demi kepentingan negeri.

Menurutnya, penubuhan GRS bukanlah untuk kepentingan mana-mana parti secara individu, sebaliknya bagi mengukuhkan kuasa rundingan politik Sabah, mencapai kestabilan ekonomi dan memastikan sebuah kerajaan negeri yang konsisten serta stabil.

“Visi ini tercetus daripada sejarah politik Sabah sendiri. Sejak zaman Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), BERJAYA dan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada era 1980-an, Sabah berdepan perpecahan politik berpanjangan. Walaupun banyak parti tempatan berkongsi matlamat memperjuangkan hak-hak Sabah, mereka sering berpecah dan menubuhkan parti baharu.

“Sejak tahun 1964 hingga kini, lebih 30 parti politik tempatan telah ditubuhkan di Sabah, dan masih ada parti baharu yang bakal muncul. Perpecahan berterusan ini hanya melemahkan kedudukan Sabah.

“GRS ditubuhkan untuk mengubah keadaan ini, menyatukan rakyat Sabah, menggabungkan suara kita dan mencontohi kekuatan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Kesatuan membawa kepada konsistensi, kekuatan dalam rundingan serta penghormatan daripada Putrajaya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya lagi, jangan dilupa pengalaman Malaysia sendiri, antara 2018 hingga 2022, negara mengalami beberapa pertukaran Perdana Menteri, setiap satu dengan dasar dan keutamaan berbeza.

“Adakah keadaan ini baik untuk Malaysia? Sudah tentu tidak. Ketidakstabilan ini melemahkan keyakinan dan memperlahankan kemajuan negara.

“Sabah turut mengalami pergolakan serupa. Pada 2018, rakyat Sabah memberi mandat kepada Warisan Plus. Pentadbiran ketika itu bekerjasama rapat dengan Pakatan Harapan (PH) dan memperkenalkan pelbagai dasar baharu.

“Pada 2020, kerajaan pimpinan Warisan tumbang selepas 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berpaling tadah, memaksa Pilihan Raya Negeri (PRN) baharu. Rakyat kemudian memberi mandat kepada gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Pada 2023, terdapat percubaan rampasan kuasa dikenali sebagai ‘Langkah Kinabalu’ untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. Pada waktu itu, Ketua Menteri bersedia memulangkan mandat kepada rakyat melalui pilihan raya baharu.

“Mujurlah, PH Sabah memilih menyokong kestabilan dan bukan kekacauan, membolehkan kerajaan meneruskan pentadbiran,” katanya.

Sim Fui berkata, peristiwa itu membuktikan ketidakstabilan politik merupakan ancaman terbesar terhadap kemajuan Sabah.

“Rakyat sudah penat dengan pertukaran kerajaan yang kerap, perbalahan politik tanpa henti dan pakatan yang sering berubah.

“Apa yang rakyat mahukan ialah kestabilan, tadbir urus yang baik dan dasar yang konsisten untuk menarik pelaburan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi.

“Inilah sebabnya Sabah memerlukan GRS. GRS ditubuhkan sebagai platform untuk menyatukan parti-parti tempatan Sabah, mengurangkan perpecahan dan memberikan kestabilan kepada negeri.

“Ia mungkin tidak sempurna, namun ia mewakili peluang sebenar untuk kita belajar daripada sejarah dan membina sebuah gabungan yang mengutamakan Sabah, mengatasi kepentingan peribadi atau parti,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pemimpin dan rakyat Sabah agar tidak melupakan semangat asal penubuhan GRS.

“Kesatuan adalah kekuatan kita. Hanya melalui kestabilan dan kerjasama, Sabah dapat mempertahankan haknya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), memperkukuh ekonomi dan menyediakan masa depan lebih baik untuk generasi akan datang,” tegasnya.