SHAH ALAM – Pemuda Pas Selangor mengecam keras tindakan rejim Zionis Israel yang menahan kapal-kapal Global Sumud Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, penahanan itu jelas merupakan jenayah kemanusiaan, pencabulan undang-undang antarabangsa serta bukti keangkuhan Israel menafikan hak rakyat Gaza untuk hidup.
Menurut beliau, kapal-kapal flotilla berkenaan membawa ubat-ubatan, makanan dan bekalan asas yang amat diperlukan rakyat Gaza yang sedang berdepan serangan serta kepungan zalim.
“Dengan menghalang bantuan ini, Israel terus menzalimi wanita, kanak-kanak dan orang tua Gaza yang sedang menderita,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sehubungan itu, Pemuda Pas Selangor menggesa kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra segera mengambil tindakan diplomatik keras serta mengangkat isu tersebut ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan ASEAN bagi mendesak Israel membebaskan flotilla serta membenarkan bantuan kemanusiaan sampai ke Gaza.
Mohamed Sukri turut memaklumkan, Pemuda Pas Selangor akan memobilisasi seluruh jentera pemuda di setiap kawasan untuk mengadakan solat hajat, perhimpunan aman dan kempen kesedaran di media sosial sebagai tanda solidariti bersama rakyat Palestin serta para aktivis flotilla.
Beliau menegaskan, isu Palestin bukan isu politik sempit tetapi isu kemanusiaan sejagat dan kewajipan agama yang perlu terus diperjuangkan oleh umat Islam.
“Pemuda Selangor berdiri teguh bersama Palestin. Global Sumud Flotilla adalah simbol keberanian umat untuk memecahkan kepungan zalim,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan Himpunan Stand4Sumud akan diadakan pada jam 4 petang pada Khamis di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat.
“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan agar bersama turun menyatakan solidariti, membantah penahanan flotilla dan mendesak Amerika berhenti melindungi jenayah Israel,” tambahnya.