ALOR SETAR - Kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan menjejaskan Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal diadakan.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, biarpun wujud perbezaan pendapat dalam Bersatu, keadaan itu tidak memberi kesan terhadap persiapan dan strategi gabungan tersebut.
“PN tak ada masalah, menjelang PRN Sabah akan selesailah. Biasalah dalam politik ada perkara yang tak setuju, tapi bila sampai ketika, mereka akan bersatu semula. Itulah parti politik, ada serba kemungkinan,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan TV Kedah di Wisma Darul Aman pada Rabu.
Menteri Besar Kedah itu berkata, isu perbalahan dalam parti bukanlah perkara luar biasa kerana UMNO Sabah sendiri dilihat bergolak apabila wujud tuntutan autonomi berkaitan pilihan raya.
“Parti lain berkelahi lagi teruk. Di Sabah, UMNO sesama UMNO berkelahi. Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin minta autonomi kepada UMNO Pusat untuk PRN. Itu dalam UMNO berkelahi teruk lagi sampai minta autonomi,” katanya.
Sanusi merujuk kenyataan Bung Moktar sebelum ini yang menegaskan keputusan Barisan Nasional (BN) untuk tidak bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membuktikan UMNO Pusat menghormati autonomi politik UMNO Sabah.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan dalaman Bersatu berkocak disebabkan ada pihak yang cuba menimbulkan kekeruhan.
“Saya tak nak campur hal dalaman Bersatu, saya pun tak tahu nak ulas apa. Cuma bila libatkan PN, bolehlah, itu urusan kita. Kalau isu dalaman itu rumah tangga mereka (Bersatu), biarlah mereka uruskan. Pas tidak terlibat dengan pergolakan dalaman Bersatu,” ujarnya.
Tambahnya, rakyat wajar melihat kestabilan Pas sebagai alternatif terbaik untuk memimpin negara pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Pas kekal stabil sejak dulu, tak ada sebarang isu, lancar sahaja. Jolok macam mana pun, Pas tetap jawab macam itu saja. Itulah Pas, tak gaduh-gaduh, elok saja,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan empat ketua bahagian Bersatu termasuk Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Datuk Wan Saiful Wan Jan, akan dihadapkan ke Jawatankuasa Lembaga Disiplin berhubung dakwaan pengumpulan akuan bersumpah (SD) bagi mengusulkan peralihan kepimpinan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Selain Wan Saiful, tiga lagi yang dipanggil ialah Ketua Bahagian Ampang, Mohd Isa Saidi; Ketua Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali; dan Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail.
Berikutan itu, Bersatu didakwa bergolak melibatkan dua kem besar dalam parti tersebut yang dikatakan membabitkan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalannya, Hamzah.