PRU16: PN sedia pertimbang hasrat Gerakan Pulau Pinang guna logo sendiri

ALOR SETAR - Perikatan Nasional (PN) sedia mempertimbangkan hasrat Parti Gerakan Pulau Pinang untuk menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya langkah itu dilihat mampu menarik sokongan pengundi di negeri berkenaan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara tersebut boleh dibincangkan dalam mesyuarat tertinggi gabungan berkenaan jika alasan yang diberikan berasas, khususnya dalam usaha mendekati pengundi Cina di Pulau Pinang.

“Kalau mereka (Gerakan) kata boleh ‘tackle’ pengundi Cina, bagus. Saya tak nampak ada masalah. Tetapi jangan pula pergi bertanding di kawasan Melayu, memang susahlah.

“Jika logiknya begitu, bawalah ke mesyuarat PN, mungkin boleh dipertimbangkan,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan TV Kedah di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong menyatakan hasrat untuk kembali tampil dengan identiti parti sendiri apabila bercadang menggunakan logo Gerakan pada PRU16.

Tong Keong turut menyatakan harapan agar pimpinan Gerakan Pusat dapat memohon kebenaran supaya Gerakan Pulau Pinang dibenarkan bertanding menggunakan logo parti, memandangkan PN sebelum ini pernah membenarkan parti komponennya berbuat demikian.

Sanusi bagaimanapun menegaskan isu tersebut tidak menimbulkan sebarang pertelingkahan dalaman antara parti-parti dalam PN.

“Tiada bibit-bibit pertelingkahan disebabkan isu berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pada PRU lalu, PN menggunakan logo gabungan berkenaan untuk bertanding dan hanya di Kelantan serta Terengganu calon dibenarkan menggunakan logo Pas.

“Kebiasaannya kita pakai logo PN, hanya di Kelantan dan Terengganu calon PN menggunakan logo Pas atas faktor sosio-politik setempat pada PRU lalu.

“Negeri lain termasuk Kedah, Perlis dan Pulau Pinang menggunakan logo PN. Saya rasa tak ada masalah timbul,” ujarnya.