KOTA KINABALU - Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sempat melambai tangan sambil menitip ucapan selamat malam kepada pengamal media sejurus meninggalkan kediaman rasminya, Sri Gaya di sini pada malam Rabu.
Beliau dilihat keluar dari pekarangan Sri Gaya sekitar jam 11.27 malam dengan menaiki kenderaan rasmi selepas dipercayai mempengerusikan mesyuarat bersama presiden parti komponen GRS.
“Good night (selamat malam), bye,” katanya sambil tersenyum ketika menyapa pengamal media yang menunggu di hadapan pagar kediaman tersebut.
Sapaan ringkas Hajiji, yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal dibubarkan minggu ini atau wujud ketidaksefahaman dalam kalangan parti komponen GRS.
Difahamkan, mesyuarat itu turut dihadiri presiden parti komponen iaitu Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (Parti Solidariti Tanah Airku - STAR); Datuk Seri Joachim Gunsalam (Parti Bersatu Sabah – PBS); Tan Sri Pandikar Amin Mulia (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu – USNO); Tan Sri Anifah Aman (Parti Cinta Sabah – PCS); Datuk Seri Yong Teck Lee (Parti Maju Sabah – SAPP); Datuk Seri Liew Yun Fah (Parti Harapan Rakyat Sabah – Harapan Rakyat) dan Datuk Chin Su Phin (Parti Liberal Demokratik – LDP).
Kesemua mereka dilihat meninggalkan Sri Gaya secara berperingkat bermula jam 9.45 malam selepas tiba sekitar jam 7 malam bagi menghadiri mesyuarat berkenaan.
Mesyuarat itu dipercayai turut membincangkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah selain terdapat desas-desus mengenai STAR yang dikatakan bersedia meninggalkan GRS sekiranya gabungan itu tetap meneruskan rancangan menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Jeffrey sebelum ini turut dilaporkan berkata, sekiranya mesyuarat memutuskan untuk meneruskan pakatan pilihan raya bersama PH, maka STAR tidak akan kekal bersama GRS.