'Tubuh badan siasatan bebas kenal pasti pihak buat onar dalam Bersatu'

KOTA BHARU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan menggesa agar satu badan siasatan bebas ditubuhkan segera bagi mengenal pasti pihak yang didakwa membawa onar dalam parti.

Pengerusinya, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, hasil siasatan itu kemudiannya perlu dikemukakan kepada Lembaga Disiplin Parti untuk memulakan prosiding secara telus dan adil berlandaskan peraturan sedia ada.

Beliau menegaskan, segala keputusan yang dibuat perlu berpandukan laporan siasatan tanpa dipengaruhi kepentingan mana-mana pihak agar hukuman yang dijatuhkan diyakini adil, diterima dan dipatuhi.

“Kami (Bersatu Kelantan) berpendapat isu kepimpinan serta kedudukan presiden telah lama dimuktamadkan dengan persetujuan sebulat suara dalam PAT (Perhimpunan Agung Tahunan) 2024 dan 2025.

"Oleh itu, ia tidak wajar lagi ditimbulkan, lebih-lebih lagi ketika parti bersiap sedia menghadapi PRU (pilihan raya umum) dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita pada Rabu.

Pada masa sama, Kamarudin menzahirkan rasa kecewa terhadap tindakan segelintir pihak yang mengeluarkan kenyataan terbuka di media hingga menjejaskan imej parti.

Menurut beliau, tindakan berkenaan hanya menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat dan tidak memberi sebarang keuntungan kepada parti.

“Sebarang rasa tidak puas hati atau pembelaan diri mestilah dikemukakan melalui saluran yang betul, iaitu di hadapan Lembaga Disiplin Parti dan diputuskan di peringkat MPT (Majlis Pimpinan Tertinggi).

“Bukannya dengan mengadakan sidang media atau kenyataan terbuka yang akhirnya hanya merosakkan imej parti,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan seluruh ahli serta pimpinan untuk kembali berpegang kepada resolusi yang diterima sebulat suara dalam PAT lalu selain mengamalkan disiplin parti, mengutamakan kesatuan dan menghormati institusi kepimpinan.

Kamarudin memberitahu, kesetiaan kepada parti, kepimpinan dan perjuangan adalah lebih utama daripada kepentingan peribadi individu.

“Demi kelangsungan parti, semua pihak mesti kembali kepada semangat asal penubuhan Bersatu iaitu berjuang untuk rakyat dan negara, bukan untuk diri sendiri,” katanya.